Bahasa Melayu, Bahasa Kita

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Kedua, Bahasa (بهاس) merujuk kepada sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Ia menjadi salah satu medium untuk komunikasi sesama manusia. Dianggarkan terdapat lebih daripada 7,000 bahasa yang digunakan di dunia ini dan Bahasa Melayu juga merupakan salah satu bahasa yang ditutur lebih daripada 5 buah negara terutama di rantau asia tenggara.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diterima dan digunakan ramai oleh penduduk dalam sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat yang lain. Ini bermakna bahasa Melayu dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan identiti negara kita. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah ditetapkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperkasakan lagi dengan Akta 32 (Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67). Perkara 152 ini tidak boleh dipinda atau diluluskan pindaan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Hal ini termaktub di bawah Perkara 159 Fasal 5 yang dengan jelas menunjukkan beberapa Perkara (termasuk Perkara 152) yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan daripada Majlis Raja-Raja. Secara langsung ini membuktikan bahawa Institusi Beraja memainkan peranan penting dalam menjaga kedudukan, status dan kelangsungan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta Pendidikan 1996 dibawah seksyen 17, turut berperanan dalam memartabatkan dan memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Di mana peruntukan tersebut menyatakan bahawa bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Antara faktor utama mengapa bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah kerana ia mempunyai impak sejarah yang besar dalam pembentukan negara Malaysia. Bahasa Melayu telah menjadi lingua franca di rantau ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan juga telah digunakan dalam urusan pentadbiran dan dokumen-dokumen perjanjian.

Bahasa Melayu juga berperanan penting dalam membina perpaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya. Melalui bahasa kebangsaan, kita dapat memupuk semangat perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan penggunaan medium bahasa yang sama dalam komunikasi harian sama ada di tempat kerja, sekolah, pasar raya atau dalam perbualan harian, ia dapat memupuk hubungan sosial yang lebih baik serta melahirkan rasa kebersamaan dan saling memahami sesama rakyat Malaysia. Ini membantu mengurangkan jurang komunikasi dan menggalakan hubungan yang lebih harmoni antara kaum.

Di samping itu, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga memberi kesan dalam pembangunan negara. Kita dapat memastikan bahawa semua rakyat Malaysia dapat memahami dan menggunakan bahasa yang sama dalam urusan rasmi seperti perundangan, pentadbiran, dan komunikasi kerajaan. Ini dapat memudahkan proses pembangunan dan meningkatkan kecekapan dalam urusan pentadbiran negara.

Kita juga harus mengiktiraf bahawa bahasa Melayu bukan sahaja penting sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, tetapi juga sebagai bahasa yang diiktiraf di seluruh dunia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pertuturan di Singapura, Indonesia dan Brunei serta sebahagian penduduk di negara Thailand, Myanmar dan Filipina. Secara tidak langsung Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan untuk sebahagian negara-negara anggota ASEAN. Ia membuka pintu peluang ekonomi dan sosial yang lebih luas bagi rakyat Malaysia.

Justeru tidak dinafikan lagi bahasa Melayu memainkan peranan yang sangat penting sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Kita harus menghargai bahasa ini sebagai bahasa yang melambangkan identiti negara dan memupuk perpaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Pemerkasaan penggunaan Bahasa Melayu juga turut memberi manfaat penting dalam aspek pembangunan negara dan keharmonian rakyat Malaysia.