APB UiTM Shah Alam : Citra Cinta Rasul

SHAH ALAM, 20 OKTOBER 2023 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti Akademi Pengajian Bahasa (SMFAPB) telah menganjurkan Program Citra Cinta Rasul pada 20 Oktober 2023 bersempena sambutan Maulidur Rasul 1445H yang berlangsung di Auditorium APB UiTM Shah Alam. Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari telah dihadiri oleh staf, para pensyarah dan 40 orang pelajar APB.

Program ini telah dikendalikan oleh Ustaz Afiz Hasan dengan menyampaikan tazkirah ringkas mengenai Sirah Rasulullah S.A.W. Antara intipati tazkirah ringkas tersebut adalah mengenai pengorbanan Rasulullah S.A.W yang mampu mendorong umat Islam dalam menghayati bulan Maulidur Rasul. Alunan selawat dan qasidah menjadi penutup kepada tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Afiz.

Program ini bertujuan untuk mengimarahkan sambutan hari Maulidur Rasul, yang secara tidak langsung dapat memupuk rasa kasih sayang, empati serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga APB. Semoga program yang bersifat kerohanian dan insaniah ini dapat memberi manfaat kepada para hadirin.