PUNCAK ALAM, 27 Januari 2024 – Program Annual General Meeting dan Dinner Phytas 2023 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam sesi 2022/2023. Program ini telah berlangsung di Dewan Pavilion, Fakulti Farmasi pada tanggal 9 Disember 2023 (Sabtu) yang bermula dari jam 5.30 petang sehingga 10.00 malam. Program ini telah disertai oleh 70 orang pelajar daripada kos fisioterapi di bawah Fakulti Sains Kesihatan dan juga seramai 28 orang ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus demi menjayakan program ini. Ianya bukan sahaja untuk meraikan barisan pimpinan Phytas sesi baharu mahupun yang lama malah juga untuk meraikan seluruh pelajar fisioterapi yang telah menyumbang jasa terbaik mereka dalam persatuan.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk melantik kepimpinan dan ahli jawatankuasa baharu bagi Persatuan Pelajar Fisioterapi sesi 23/24. Selain itu, pembentangan aktiviti dan pencapaian persatuan sepanjang sesi 22/23 juga dibuat di samping memberi penghargaan kepada ahli jawatankuasa Phytas sesi 22/23 atas jasa dan sumbangan sepanjang sesi 22/23. Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada pelajar fisioterapi yang cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 4.30 petang dan tepat jam 5.00 petang, program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM serta bacaan doa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan pengarah program serta ucapan perasmian oleh Dr. Ida Hasni Shaari selaku Ketua Pusat Pengajian pelajar fisioterapi. Program diteruskan lagi dengan sesi pembentangan sumbangan dan aktiviti Phytas sesi 22/23 serta laporan kewangan oleh Exco Phytas sesi 22/23. Sesi soal jawab diteruskan setelah selesai sesi pembentangan bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh pelajar. Majlis penutupan program telah diadakan tepat jam 10.00 malam dengan pengisian sesi fotografi, nyanyian lagu Uitm Dihatiku dan bacaan doa Rabitah.
Secara keseluruhan, program ini telah memberi impak positif kepada para pelajar dan ahli jawatankuasa sepanjang program berlangsung dalam merealisasikan objektif dan matlamat program. Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat memupuk semangat mahasiswa untuk terus berusaha dalam mencapai kejayaan di masa hadapan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diberikan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.