Program Business Innovation Competition and Exhibition (BICE) Berjaya Mencungkil Bakat Pelajar Sebagai Usahawan

Program Business Innovation Competition and Exhibition (BICE) yang telah berlangsung pada Disember lepas telah berjaya mencungkil bakat para pelajar dan telah dijalankan dengan jayanya. Program tersebut dijalankan di minggu akhir kuliah semester Oktober 2023- Februari 2024 yang melibatkan pelajar-pelajar subjek ENT300 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tapah.

Program yang telah dijalankan pada Disember lalu telah menarik minat juri dengan kepelbagaian hasil pembentangan para pelajar semasa sesi persembahan  tersebut. Para pelajar merupakan pelajar-pelajar yang mengambil subjek ENT300 (Fundamental of Entrepreneurship). Subjek ini telah menerapkan beberapa topik penting sebagai seorang usahawan seperti pendedahan awal kepada individu dalam selok belok berkaitan perniagaan, bagaimana menghasilkan business plan, dan juga pembentukan jenis perniagaan. Di akhir pengkuliahan, pelajar didedahkan dengan program BICE untuk dimasukkan sebagai markah tugasan secara berkumpulan. Hasilnya, program ini telah berjaya menyuntik semangat keusahawanan di kalangan pelajar. Pelbagai jenis perniagaan telah dibentangkan oleh setiap kumpulan. Kepetahan berbicara serta keyakinan yang tinggi semasa proses pembentangan menjadi faktor utama mereka berjaya mencuri hati juri dalam sesi pemarkahan. Penjurian dilakukan menggunakan dua panel iaitu panel dalaman dan juga panel luar. Melalui respon yang diterima, rata-rata panel sangat berpuas hati dengan prestasi pelajar-pelajar tersebut.

Secara keseluruhannya, program BICE menjadi pemangkin kepada pelajar untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai suatu cabang latihan bagi mempersiapkan diri menghadapi masa depan. Diharap program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik. Tahniah kepada semua pelajar yang terlibat.