Info, Ilmu dan Insan (3I) adalah salah satu usaha dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, cakna dan berwibawa. Seramai 100 orang mahasiswa daripada pelatih Kor Suksis dan pelajar Kesatria, 12 orang staf dan 35 orang mahasiswa daripada Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah menghadiri program ceramah yang bertajuk Ancaman Keselamatan: Menyingkap Yang Tersirat.
Setiap daripada kita adalah bertanggungjawab untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa dilindungi dan terus dipelihara. Usaha murni ini adalah mendedahkan para mahasiswa dengan ilmu berhubung ancaman keselamatan dan memperkasakan jati diri mereka mendepani masa yang semakin mencabar ini.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Jabatan Undang-Undang dan Unit Ko-Kurikulum UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah pada 18.1.2024. Ceramah telah disampaikan oleh Yang Di Hormati, ASP Anuar bin Kassim, Pemangku Pegawai Turus E9 Cawangan Khas IPK Perak dari 2:30 sehingga 4:30 Petang yang bertempat di Library Community Engagement (LCE) Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Program telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Ahmad Zoolhelmi bin Alias, Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Turut hadir Puan Hajah Rosnani bin Rajiee, Inspektor E9 Cawangan Khas IPK Perak, Tuan Norkhairi bin Awang Nor, Pegawai Keselamatan Kanan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dan Encik Muhammad Azri bin Ibrahim, Penolong Pendaftar Kokurikulum UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Diharapkan ilmu yang diperolehi memberi manfaat berdasarkan hadis Nabi berhubung menyampaikan ilmu merupakan suatu tuntutan dalam Islam iaitu بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً yang bermaksud “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya.