SHAH ALAM, 10 SEPTEMBER 2022 – Seramai 33 alumni UiTM hadir meraikan 21,851 graduan UiTM graduan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM yang ke-94 pada Sidang Pertama hari ini. Pusat Jaringan Alumni (ANC) di bawah Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni sebagai Jawatankuasa Induk Sambutan Alumni amat berbesar hati dengan kehadiran alumni UiTM yang terdiri daripada usahawan, Majlis Alumni Universiti Awam, Alumni Muda dan pelbagai latar belakang yang membanggakan.
Alumni UiTM yang hadir adalah wakil kumpulan graduan pada tahun 1970-an hingga tahun 2000 dan ke atas. Simbolik kehadiran alumni UiTM pada sesi ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada alumni selain memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan alumni UiTM agar dapat memaksimumkan inisiatif untuk memperkukuh, mempromosi dan membangun berdasarkan konsep 3 Degrees of Separation: Akademik – Industri – Komuniti, dalam kalangan kakitangan akademik dan bukan akademik, pelajar serta alumni untuk meningkatkan lagi kerjasama rangkaian antarabangsa UiTM.
“Teruskan dan kembangkan silaturrahim untuk graduan hari ini dan yang akan datang seperti alunan ombak dilaut dan arakan awan di langit” kata YBhg. Datuk Ahmad Sean bin Sulong, Pemilik dan Pengerusi Lensa Film @ Wisma Lensa, Program Applied Art – Graphic Design (1973).
“ Bila saya masuk kedalam dewan semalam, perasaan sedih, suka dan terharu. Setelah 38 tahun meninggalkan yang dulu di panggil “ITM” dan sekarang UiTM, tentunya mengimbas kembali kenangan lampau. Alhamdulillah ” kata En. Abu Shahid Ali, Pesara, Program Graphic Design, 1973.
Para alumni UiTM yang hadir turut terlibat dengan Perarakan Alumni di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam dan Majlis Santapan Diraja bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor UiTM.
Bagi meraikan alumni UiTM juga, Malaysia Airlines dan Firefly berbesar hati untuk memperluaskan manfaat dengan memberikan diskaun sebanyak 15% tambang penerbangan kepada semua alumni UiTM yang berdaftar melalui Aplikasi Media Sosial ‘MyAlumni UiTM’ ke semua destinasi domestik dan antarabangsa terpilih. Tertakluk kepada terma dan syarat.