Alumni PPT Mencabar Diri

Berkesempatan menghadiri Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI UiTM Cawangan Johor (UiTMCJ) Kampus Segamat pada 22 April 2022 (Jumaat) merupakan satu momen berharga buat Koordinator Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTMCJ, Puan Siti Zarikh Sofiah binti Abu Bakar tatkala menyaksikan alumni PPT berdiri segak menjadi pengacara majlis tersebut.

Muhammad Asyraf bin Zaini, berumur 20 tahun dan berasal dari Segamat, Johor merupakan alumni PPT UiTMCJ. Beliau kini menyambung pengajian ke peringkat diploma di UiTMCJ dalam bidang Perakaunan dan telah melangkah ke semester kedua pengajian.

Berpengalaman menyertai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia sejak di bangku sekolah memupuk minat beliau menyertai latihan dan persediaan untuk menjadi Komander Kesatria UiTM.

Meskipun rata-rata pelajar PPT dilabel sebagai kurang berkeyakinan, Muhammad Asyraf berjaya mencabar diri dan memecahkan tanggapan klise tersebut. Beliau bukan sahaja memulakan langkah dengan mendaftar sebagai bakal Komander Kesatria UiTMCJ, malah tampil berani mengacarakan majlis rasmi seperti ini.

Hal ini membuktikan betapa UiTM khususnya Komander Kesatria UiTMCJ banyak membuka peluang kepada pelajar-pelajarnya tanpa mengira status untuk membangunkan potensi diri dengan syarat pelajar sendiri mahu meningkatkan potensi diri mereka.