Program Kongsi Rezeki Bersama Pelajar Fakulti Perakaunan – UiTM Cawangan Pahang

Bandar Pusat Jengka, 14 April 2022 – Berpuasa jauh daripada keluarga merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar yang berada di perantauan contohnya di kampus. Pasti ada sedikit kesedihan dan kerinduan apabila terkenang suasana berbuka puasa bersama keluarga di rumah. Atas dasar rasa kecaknaan dan juga tanggungjawab sosial, para pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Pahang Kampus Jengka telah melaksanakan Program Kongsi Rezeki bersama pelajar Diploma Perakaunan (AC110) yang berada di kampus pada bulan Ramadan ini.

Program Kongsi Rezeki ini telah diadakan pada 14hb April 2022 bertempat di Kolej Mat Kilau 2 (pelajar lelaki) dan Kolej Tok Gajah (pelajar perempuan) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Pihak fakulti telah mengedarkan bakul makanan untuk berbuka puasa kepada semua pelajar AC110 yang berada di kampus iaitu seramai 21 orang yang terdiri daripada 7 orang pelajar lelaki dan 14 orang pelajar perempuan. Bagi menjayakan program ini, sebanyak RM500 telah berjaya diperolehi hasil kutipan daripada kalangan pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Pahang Kampus Jengka. Hasil kutipan yang diperolehi telah digunakan bagi tujuan penyediaan bakul makanan tersebut.

Program Kongsi Rezeki adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang kedua iaitu SDG 2: Kelaparan Sifar (Zero Hunger). Maka, diharapkan program ini mampu meringankan sedikit sebanyak beban perbelanjaan pelajar untuk membeli juadah berbuka puasa ketika mereka berada di kampus. Tambahan pula, ada dikalangan pelajar yang menetap di kolej kediaman adalah terdiri daripada golongan B40. Tidak ketinggalan, program ini juga dilaksanakan bagi meraikan disamping menzahirkan rasa kecaknaan pensyarah Fakulti Perakaunan dan seterusnya mengeratkan lagi hubungan baik di antara pensyarah dan pelajar Fakulti Perakaunan khususnya. Selain mewujudkan suasana harmoni di antara pensyarah dan pelajar, program ini dapat dilihat sebagai landasan bagi mewujudkan komuniti kampus yang cakna dengan sosio ekonomi dikalangan pelajar.

Maka, amat diharapkan melalui sumbangan kecil ini, pelajar dapat memahami bahawa berkongsi rezeki itu mampu memberi keceriaan dalam hidup seseorang. Sedikit atau banyak bukanlah satu ukuran, sebaliknya keikhlasan dalam memberi ini mungkin dapat dinilai sebagai satu tanda kasih sayang pendidik kepada pelajar. Semoga keluhuran hasrat Program Kongsi Rezeki ini juga dapat menyemai sifat keprihatinan dalam diri pelajar agar mereka menjadi seorang yang prihatin, cakna dan mengambil berat terhadap orang-orang di sekeliling mereka.

Tajuk Asal: Program Kongsi Rezeki Bersama Pelajar Fakulti Perakaunan – Inisiatif Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Dalam Menggapai Matlamat Pembangunan Lestasi Terhadap Pelajar.