“AKTIVITI DOMESTIK BERSAMA KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS”

PUNCAK ALAM, 24 Ogos 2023 – Penganjuran kali kedua aktiviti mingguan oleh Perkhidmatan Terapi Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, telah berlangsung pada 24 Ogos 2023 di Makmal Aktiviti Kehidupan Harian, FSK 234, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Anjuran kali ini telah mendapat sambutan yang meriah dan disertai seramai 13 orang peserta kanak-kanak berkeperluan khas yang dikendalikan oleh Jurupulih Cara Kerja di Kampus Puncak Alam. Aktiviti berkumpulan ini disertai oleh kanak-kanak berkeperluan khas yang terdiri daripada Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Disorder, Cerebral Palsy, masalah percakapan dan pendengaran.

Aktiviti mingguan yang dianjurkan kali ini mengetengahkan aktiviti domestik yang bertemakan ‘Chocolate Cookies’. Aktiviti berkumpulan ini memerlukan kanak-kanak untuk mencelup biskut jejari ke dalam coklat dan dihiasi dengan taburan manik makanan. Tujuan utama aktiviti ini di lakukan adalah untuk menggalakan kemahiran asas penyediaan makanan selain daripada untuk merangsang kemahiran komunikasi dan sosial, kognitif, motor halus, serta integrasi deria melalui eksplorasi tekstur bahan makanan yang digunakan.

Aktiviti ini mendapat sambutan dan sokongan yang memberangsangkan daripada pihak ibu bapa di mana Perkhidmatan Terapi Cara Kerja menerima maklum balas yang positif dan telah menarik minat mereka untuk melibatkan anak-anak untuk menyertai aktiviti berkumpulan.

Perkhidmatan Terapi Cara Kerja telah beroperasi sejak 2021 sehingga sekarang dan telah menerima sebanyak lebih kurang 100 orang pesakit dari sekitar Lembah Klang. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti terapi cara kerja pediatrik, medikal dan neurologi, ortopedik dan psikiatrik. Perkhidmatan ini beroperasi dari Isnin – Jumaat daripada 9.00 pagi hingga 4.00 petang dengan kadar yang sangat minimal. Kepada mana-mana pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan di Perkhidmatan Terapi Cara Kerja, sila berhubung di talian 03-32584320.