AKNC : Winning Mindset antara Elemen Pembudayaan AKNC di Fakulti Perakaunan

Imbasan Program Sharing Session AKNC 2021 diteruskan dengan mengimbas perkongsian salah seorang panel jemputan sesi tersebut iaitu Pensyarah Kanan, Fakulti Perakaunan, Puan Rohayu Yusop. Beliau yang juga bertanggungjawab sebagai Pengurus AKNC Fakulti Perakaunan, telah berkongsi ilmu dan pengalaman serta beberapa perkongsian lain sepanjang penglibatan dalam AKNC. Sebelum ini, Fakulti Perakaunan telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan AKNC 2018 dan juga Juara Peringkat Fakulti AKNC 2019.

Pembudayaan AKNC di Fakulti Perakaunan
Puan Rohayu telah berkongsi tentang pembudayaan AKNC di Fakulti Perakaunan yang telah diamalkan oleh warga Fakulti tersebut sejak awal lagi iaitu pembudayaan kecemerlangan (culture of excellence) yang diserapkan dan dipraktikkan dalam proses kerja. Selain itu, warga Fakulti Perakaunan juga mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan (continuous quality improvement) yang mana memerlukan penghayatan yang baik dari semasa ke semasa. Beliau juga turut memaklumkan budaya fokus kemenangan (winning mindset) kepada penghasilan penulisan terbaik dan budaya kebersamaan (togetherness) yang melibatkan semua lapisan warga di Fakulti Perakaunan merupakan antara elemen penting dalam pembudayaan AKNC ini.

Cabaran-cabaran dalam penulisan laporan AKNC
Beliau menerangkan terdapat dua kategori cabaran yang dihadapi iaitu cabaran di pihak urusetia dan di peringkat penulis. Cabaran pihak urusetia ialah pengurusan penulisan laporan AKNC di mana pihak urusetia harus memahami dengan baik dan sebolehnya ‘menjiwai’ setiap maklumat yang diberikan oleh pihak Sekretariat dalam setiap sesi taklimat AKNC bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam proses penulisan laporan dan kepincangan dalam laporan yang dihasilkan.

Cabaran utama di peringkat penulis pula ialah dari segi masa dan komitmen. Sungguhpun pihak urusetia telah membuat perancangan awal, namun kekangan-kekangan yang dihadapi membataskan para penulis untuk memulakan penulisan lebih awal. Manakala cabaran lain di peringkat penulis ialah data dan kemahiran menulis. Penulis menghadapi cabaran dalam mengenalpasti bukti dalam data bagi pembuktian kepada kenyataan-kenyataan yang ditulis dalam laporan AKNC. Setiap penulis juga mempunyai kemahiran menulis berbeza yang mana perlu digilap dan diberikan bimbingan oleh pihak urusetia agar semua penulis dapat menghasilkan penulisan yang tepat dan padat.

Best practices dalam penulisan AKNC
Puan Rohayu telah berkongsi beberapa best practices yang telah dibudayakan daripada dahulu sehingga sekarang iaitu penglibatan kepimpinan kanan dalam penyediaan laporan AKNC samada dalam bentuk sokongan mahupun melibatkan diri dalam membuat penilaian laporan AKNC. Best practice seterusnya ialah penglibatan ramai penulis sebagai memudahkan proses penulisan. Selain itu, penyediaan rangka kerja sebelum penulisan dan mewujudkan penilai dalaman juga merupakan best practices Fakulti Perakaunan. Beliau turut mendedahkan salah satu strategi Fakulti tersebut untuk meraih kemenangan ialah pemilihan bidang tumpuan yang bertepatan dengan pencapaian yang ada pada Fakulti Perakaunan.

Harapan
Menurut Puan Rohayu, pembabitan warga Fakulti Perakaunan dalam AKNC bukanlah sekadar untuk mengejar kemenangan semata-mata, namun apa yang penting, kebaikan-kebaikan dan sumbangan yang diperoleh daripada penulisan AKNC. Beliau berharap agar semua warga Fakulti Perakaunan, khususnya dan semua PTJ amnya, sentiasa mewujudkan budaya kualiti dan semangat kerjasama bagi mencapai kecemerlangan organisasi dan juga individu.