Acara Merdeka ‘Fun Run’ 2023 Anjuran UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan

27 Ogos 2023 – Seramai 270 peserta telah menyertai acara larian Merdeka ‘Fun Run’ 2023 sempena sambutan hari kemerdekaan negara kali ke-66 di UiTM Kampus Sungai Buloh.

Pengarah bagi acara Merdeka ‘Fun Run’ 2023 Insp/PB Tuan Hadith Jamaluddin berkata, acara ini diadakan bagi memperingati hari kemerdekaan negara sekaligus memperingati jasa-jasa pejuang sebelum ini. Cabaran bagi Merdeka‘Fun Run’ kali ini adalah larian sejauh 3.7 km yang bermula dari dalam kampus dan di luar kawasan kampus.

Acara ini dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan juga tarian zumba bersama semua peserta untuk memberikan rasa semangat sebelum memulakan larian. Acara ini juga merupakan salah satu usaha yang tepat pada masanya untuk memastikan penglibatan atau penyertaan semua warga UiTM Cawangan Selangor dalam aktiviti amalan gaya hidup sihat. Acara seperti ini akan mewujudkan persaingan yang sihat serta melahirkan semangat berlumba-lumba untuk memenangi dan menamatkan larian.

Sesungguhnya elemen kesihatan merupakan satu segmen yang amat penting dalam menjaga kesejahteraan kita semua. Ada yang berkata amalan gaya hidup sihat bermula dengan pemakanan sihat. Ada juga menyentuh soal senaman dan aktiviti fizikal. Tidak kurang juga menyarankan kita mengelakkan diri daripada tabiat dan pemakanan yang kurang sihat.

YBhg. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua jawatankuasa acara yang telah berusaha keras menggembleng tenaga untuk merealisasikan acara Merdeka ‘Fun Run’ 2023 ini. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Diakhir ucapan beliau berkata ‘Saya mendoakan agar keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan sekalian mendapat pembalasan yang setimpal daripada Allah SWT’.

Acara ini telah disempurnakan oleh YBhg. Professor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada semua warga UiTM yang telah hadir dari UiTM Kampus Shah Alam, UiTM Kampus Puncak Alam, UiTM Kampus Selayang dan UiTM Kampus Teluk Intan. Juga tidak dilupakan penyertaan dari komuniti luar UiTM seperti dari:

• UiTM Private Specialist Centre (UPSC)
• Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sg Buloh
• Institut latihan kementerian kesihatan Malaysia Sg Buloh
• Hospital Al-Sultan Abdullah,UiTM Puncak Alam (HASA)
• Hospital Sungai Buloh

Universiti antara platform utama kerajaan dalam mendidik dan membina jati diri staf dan pelajar (warga UiTM) agar mempunyai semangat patriotisma yang tinggi. UiTM akan terus mengadakan sambutan sebegini setiap tahun bagi memastikan warganya benar-benar menghayati kemerdekaan dalam erti kata sebenar.

Acara ini juga telah menggambarkan bahawa keharmonian dan kesepakatan warga UiTM Cawangan Selangor terserlah dalam menyambut hari kebangsaan pada tahun ini. Majlis penutup diakhiri dengan cabutan bertuah dan nyayian lagu Jalur Gemilang serta laungan Merdeka sebanyak tiga kali.