
KOTA KINABALU, 12 Jun 2026 – Semangat keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus dizahirkan menerusi kunjungan hormat dan penyampaian sumbangan kepada Dapur Siswa MADANI @ Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah. Program murni ini diterajui oleh PUSPANITA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan PUSPANITA Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni itu bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi. Selain itu, ia menjadi platform utama dalam menyokong inisiatif kebajikan pelajar yang dilaksanakan melalui Dapur Siswa MADANI di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah.
Ketibaan delegasi yang diketuai oleh YBhg. Datin Dr. Rafidah @ Malissa binti Salleh, Penaung PUSPANITA Cawangan KPDN, dan YBhg. Datin Seri Datuk Norhayati binti Musa, Penaung PUSPANITA Cawangan KDN, telah disambut mesra oleh barisan pengurusan tertinggi universiti. Antara yang menyambut ketibaan ialah YBrs. Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed selaku Rektor UiTM Cawangan Sabah serta Ts. Dr. Ajimi Jawan, Timbalan Rektor HEP.

Dalam sesi tersebut, pihak pengurusan universiti memberikan taklimat terperinci mengenai peranan Dapur HEP sebagai salah satu mekanisme bantuan makanan utama kepada pelajar yang memerlukan, khususnya mereka yang berhadapan dengan kekangan kewangan sepanjang tempoh pengajian.
Sebagai tanda sokongan padu terhadap usaha berkenaan, pelbagai sumbangan berbentuk barangan keperluan asas makanan, makanan dalam tin, makanan sejuk beku, serta barangan elektrik untuk kegunaan harian telah disampaikan. Sumbangan ini dijangka dapat membantu memperkukuhkan operasi Dapur Siswa MADANI sekali gus memastikan kebajikan harian pelajar sentiasa terpelihara.
Impak program ini menjadi lebih besar dengan sokongan padu daripada beberapa agensi dan organisasi lain yang turut tampil menghulurkan sumbangan. Antara yang terlibat ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PERSIAP), serta Jabatan Penjara Malaysia. Penglibatan pelbagai agensi ini mencerminkan komitmen bersama yang jitu dalam membantu mahasiswa dan memperkukuhkan agenda kesejahteraan mereka.
“Sinergi erat antara agensi kerajaan, badan berkanun, dan institusi pendidikan tinggi sebegini mampu memberikan impak yang sangat signifikan kepada kesejahteraan mahasiswa,” ujar pihak pengurusan UiTM Cawangan Sabah semasa sesi lawatan tersebut.
Selain penyerahan sumbangan, program ini turut membuka ruang perbincangan yang produktif mengenai potensi kerjasama pada masa hadapan. Fokus perbincangan merangkumi aspek kebajikan, kesukarelawanan, dan pembangunan mahasiswa, yang mana kesemuanya selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan, serta berjiwa masyarakat demi pembangunan modal insan yang mampan.
Penulis: Muhammad Erian
Editor: Nurul Huda Roslan
