Inovasi Sosial Nusantara: UiTM Cawangan Perlis Santuni Komuniti Riau Lewat Kolaborasi SULAM

RIAU, INDONESIA, 6 APRIL – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Universitas Islam Riau (UIR) yang berlangsung di sini, hari ini.

Jalinan kerjasama ini merupakan satu detik bersejarah yang menterjemah komitmen kedua-dua institusi dalam memperkasa hubungan dua hala merangkumi pelbagai bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan bakat pelajar.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor berkata, MoU ini membuka ruang luas kepada penerokaan kolaborasi strategik termasuk program pertukaran pelajar dan staf akademik, inisiatif mobiliti antarabangsa, serta penganjuran seminar dan persidangan bersama.

“Kerjasama rentas sempadan ini amat kritikal dalam memastikan institusi pendidikan tinggi kekal relevan dan berdaya saing di era pendigitalan global. Selain aspek akademik, jalinan ini turut memberi penekanan kepada pembangunan pelajar menerusi program berimpak tinggi seperti Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM),” ujar beliau.

Menerusi inisiatif SULAM, mahasiswa kedua-dua universiti berpeluang melaksanakan projek khidmat komuniti yang mampu memperkukuh kemahiran insaniah sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat setempat di peringkat antarabangsa.

Pemeteraian MoU ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan dan penerbitan ilmiah bersama yang lebih berkualiti, selain melahirkan graduan holistik yang berupaya mendepani cabaran dunia global.