UiTM Diiktiraf sebagai Pilihan Utama Majikan dalam Talentbank GE Index 2026

KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus melakar kejayaan cemerlang dalam memperkasa agenda kebolehpasaran graduan apabila diiktiraf sebagai antara tiga Universiti Awam (UA) terbaik pilihan utama majikan di Malaysia melalui Talentbank Graduate Employability (GE) Index 2026.

Pengiktirafan berprestij tersebut telah disampaikan dalam Majlis Pengiktirafan Talentbank GE Index yang berlangsung di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur. Mewakili UiTM bagi menerima anugerah tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni – ICAN), Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari, dengan diiringi oleh barisan kepimpinan universiti termasuk Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Dekan Fakulti Perakaunan.

Pencapaian tahun ini menyaksikan UiTM mendominasi kedudukan nombor satu bagi 10 bidang pengajian strategik, iaitu Periklanan, Animasi, Perbankan, Komunikasi dan Penyiaran, Seni Kulinari, Pengurusan Acara, Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan, Pengurusan Hospitaliti, Perhubungan Awam dan Pelancongan.

Selain itu, bidang Perakaunan terus membuktikan kualiti pendidikan bertaraf dunia apabila mengekalkan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik selama lima tahun berturut-turut sejak tahun 2022. Secara keseluruhan, sebanyak 29 bidang pengajian di UiTM telah dianugerahkan Penarafan 6-Bintang Pilihan Majikan, satu pengiktirafan tertinggi yang mencerminkan kepercayaan industri terhadap kurikulum dan kualiti graduan UiTM.

Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari menyifatkan kejayaan ini sebagai manifestasi komitmen jitu seluruh warga universiti dalam memastikan graduan UiTM kekal kompetitif dan selaras dengan dinamika industri yang sentiasa berubah.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa graduan UiTM bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik, malah dilengkapi dengan kemahiran insaniah dan teknikal yang amat dikehendaki oleh pasaran pekerjaan masa kini. Ia memperkukuh peranan UiTM sebagai pembekal bakat utama negara,” ujar beliau.

Kejayaan ini sekali gus memantapkan lagi kedudukan UiTM dalam merealisasikan aspirasi untuk melahirkan graduan holistik yang relevan, berdaya saing, dan menjadi pilihan utama majikan di peringkat nasional serta antarabangsa.