World AIDS Day: Race To Zero-Memacu Kesedaran HIV/AIDS Dan Budaya Hidup Sihat Warga UiTM Kuala Pilah

Kuala Pilah, 13 Disember 2025 – UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah terus komited menyokong agenda kesihatan awam apabila Program World AIDS Day: Race To Zero berjaya dianjurkan pada 13 Disember 2025 bertempat di Padang UiTM Kuala Pilah, dengan penglibatan aktif seramai 245 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf UiTM serta komuniti setempat. 

Program sempena sambutan Hari AIDS Sedunia ini dianjurkan oleh Persatuan Ijazah Sarjana Muda Biologi (BIOSMARTEAM) dengan kerjasama Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS), Jabatan Penerangan Malaysia serta Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah. Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia, terhadap kepentingan pencegahan HIV/AIDS di samping menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap individu yang terjejas. 

Antara pengisian utama program termasuk aktiviti senamrobik, acara larian amal, pameran daripada Jabatan Penerangan Negeri Sembilan serta Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah, selain majlis penutup yang telah disempurnakan oleh Encik Shaharuddin bin Daud @ Abu Hassan, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah, Jabatan Penerangan Malaysia. Pendekatan berasaskan sukan dan pendidikan yang diterapkan bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah berperanan sebagai medium berkesan dalam penyampaian maklumat berkaitan kesihatan dan kesejahteraan komuniti. 

Selain memberi impak positif kepada masyarakat, program ini turut berfungsi sebagai platform pembelajaran luar bilik kuliah kepada pelajar UiTM melalui penglibatan secara langsung dalam aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan program. Pengalaman ini secara tidak langsung membantu membangunkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial, selaras dengan aspirasi Dasar Belia Malaysia serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3, 4 dan 17). 

Secara keseluruhannya, World AIDS Day: Race To Zero berjaya memperkukuh imej UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang proaktif dalam mendukung agenda kesihatan awam, kesedaran sosial dan pembangunan komuniti. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha berterusan ke arah merealisasikan agenda Malaysia Bebas AIDS 2030, sekali gus melahirkan masyarakat yang sihat, berilmu dan prihatin.