
Vietnam, 26 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka telah berjaya melaksanakan Lawatan Akademik dan Program Khidmat Masyarakat Pengantarabangsaan di Vietnam melibatkan seramai 27 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kepujian). Program ini turut dibimbing oleh dua pensyarah pengiring, Encik Isham bin Abidin dan Encik Rusydi bin Mohamad Kamal, berteraskan tema “Empowering Minds, Embracing Cultures”.
Program khidmat masyarakat tersebut telah diadakan di Masjid Nourul Ehsaan, dengan objektif utama menyantuni komuniti setempat di samping memupuk semangat kesukarelawanan serta meningkatkan kepekaan budaya dalam kalangan pelajar.
Sebagai komitmen terhadap tanggungjawab sosial universiti, pihak penganjur telah menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, garam dan keperluan asas lain kepada 100 keluarga, dengan nilai keseluruhan RM4,000. Di samping itu, sumbangan kewangan USD1,000 turut diberikan kepada Masjid Nourul Ehsaan bagi menyokong aktiviti dan pembangunan prasarana masjid tersebut.

Selaras dengan fokus terhadap pembangunan pendidikan komuniti, program ini turut menyampaikan sumbangan alat tulis dan duit raya kepada 100 orang kanak-kanak, melibatkan peruntukan sebanyak RM1,000, bagi membantu keperluan pembelajaran serta memberi dorongan moral kepada golongan muda.
Selain itu, pelajar UiTM juga melaksanakan aktiviti pemindahan ilmu kepada kanak-kanak di perkampungan tersebut. Pengisian yang dijalankan merangkumi kelas Bahasa Arab, kelas Bahasa Melayu serta aktiviti kesenian, yang bukan sahaja memperkenalkan ilmu baharu tetapi turut mengeratkan hubungan budaya antara peserta dan komuniti tempatan.
Secara keseluruhan, program ini berjaya dilaksanakan dengan jumlah tajaan bernilai RM12,000, merangkumi pembelian barangan sumbangan serta pengendalian aktiviti pembangunan masyarakat. Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkukuh pengantarabangsaan akademik, di samping melahirkan graduan yang berdaya saing, beretika dan peka terhadap tanggungjawab sosial di peringkat global.
