
KG. GOL, JERANTUT, PAHANG, 1 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pengajian Pengurusan Taman dan Ameniti, Fakulti Alam Bina (FAB) telah menganjurkan Program “Guardians of the River: UiTM–IJMC Sdn. Bhd. (Bandar Rimbayu) Softshell Turtle Community-Based Conservation Initiative” di Kampung Gol, Jerantut. Program ini menggabungkan kerjasama strategik antara UiTM, IJM Construction Sdn. Bhd. (Bandar Rimbayu), Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia dan komuniti setempat bagi memelihara kelestarian sungai serta habitat air tawar.
Inisiatif ini memberi fokus kepada pemuliharaan spesies labi-labi (softshell turtle) iaitu Pelochelys cantorii (Resing) dan Chitra chitra (Labi Bintang) yang tersenarai sebagai ‘Critically Endangered’ dalam Senarai Merah IUCN. Program turut disokong oleh Pusat Pembangunan Komuniti Lestari (SCDC) di bawah Pejabat ICAN UiTM, bagi memperkasa penglibatan komuniti dan mahasiswa dalam aktiviti berimpak sosial.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Ts. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi, Dekan FAB UiTM, bersama wakil IJM Construction, PERHILITAN dan pemimpin komuniti. Dalam majlis ini, IJM Construction Sdn. Bhd. (Bandar Rimbayu) menyumbang RM30,000 kepada UiTM bagi menyokong penyelidikan, pembangunan pusat penetasan, pemantauan habitat dan pendidikan komuniti.
Program turut menampilkan pelancaran buku konservasi, lawatan tapak, penanaman pokok, eksplorasi sungai serta pelepasan anak labi-labi ke habitat semula jadi sebagai simbol usaha kelestarian jangka panjang. Dekan FAB menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan agenda ‘Universiti untuk Masyarakat’ dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).
UiTM berharap program ini menjadi platform berterusan untuk menghubungkan universiti, industri dan komuniti dalam memelihara biodiversiti, sekali gus melahirkan generasi yang peka terhadap kelestarian alam sekitar.
Ditulis oleh: Mas Aiyu Jamaludin, Fakulti Alam Bina
