
ARAU, 26 Oktober 2025 – Persatuan Hortech, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Hortech Alumni Insights Series 2, sebuah sesi perkongsian inspirasi yang menghimpunkan alumni berpengalaman dalam bidang hortikultur dan agroteknologi. Program ini berlangsung di Lecture Theatre 7, Bangunan Star Complex dan turut disiarkan secara langsung melalui platform TikTok rasmi Persatuan Hortech (@persatuan.hortech).
Program yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini menampilkan tiga alumni sebagai panel jemputan iaitu Encik Mohd Iqbal Bin Rosli (Techno Commercial Executive, Biosyn Marketing Sdn. Bhd.), Cik Ainul Husna Binti Mohd Khairi (Assistant Economic Affairs Officer, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia), dan Encik Zaim Farhan Yais Bin Hazli Yais (Business Development & Sales Executive, GWG Sdn. Bhd.). Mereka merupakan graduan Diploma Pengurusan Ladang (DPIM) dan Sarjana Muda Sains Teknologi Hortikultur (Hortech) UiTM Perlis yang kini menempuh kerjaya profesional dalam pelbagai sektor industri.

Sesi perkongsian ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami realiti dunia pekerjaan, cabaran industri serta tips persediaan kerjaya. Interaksi dua hala melalui sesi soal jawab turut membuka ruang kepada pelajar mendapatkan panduan dan nasihat terus daripada alumni.
Selain itu, program ini menampilkan taklimat khas mengenai laluan akademik ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda UiTM yang disampaikan oleh Puan Nur Illani Abdul Razak, Penyelaras Misi Akademik FPA. Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang pengajian selepas tamat pra-diploma dan diploma.
Program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan alumni-pelajar, malah memberi nilai tambah melalui pemberian E-Merit kepada peserta sebagai galakan penyertaan aktif. Di bawah bimbingan Penasihat Persatuan Hortech, Encik Ashraf Mohd Zainol, penganjuran ini diharap menjadi platform berterusan untuk menghubungkan komuniti akademik dan industri, seterusnya melahirkan graduan Hortech yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
