Jejak Sumud Flotilla ke UiTM Dengkil: Menyulam Inspirasi, Menyemai Keinsafan

DENGKIL, 17 Oktober 2025 – Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil telah menganjurkan Program Jejak Sumud Flotilla ke UiTM Dengkil, bertempat di Anjung Dengkil pada hari Khamis, 16 Oktober 2025. Program inisiatif keprihatinan kemanusiaan ini berjaya dilaksanakan melalui usaha kolaboratif antara Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), dan pasukan Sukarelawan (ICV), dengan kerjasama rakan strategik Cinta Salam Malaysia (CSM).

Program ini bertujuan memupuk kesedaran dan empati yang mendalam dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat terhadap perjuangan rakyat Palestin. Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat).

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Noor Syahida Md Soh, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar & ICAN, yang menekankan pentingnya nilai kemanusiaan dan solidariti sejagat dalam diri setiap mahasiswa. Suasana menjadi lebih menyentuh hati apabila hadirin disajikan dengan bacaan sajak bertajuk “Mana Mungkin” oleh Puan Ezathul Zerafena Mohd Ris, yang memuatkan bait-bait puitis tentang perjuangan dan ketabahan rakyat Palestin.

 

Acara kemuncak program menampilkan perkongsian eksklusif daripada dua pejuang Sumud Flotilla Nusantara, iaitu Tuan Musa Al-Nuwayri dan Encik Muaz Zainal. Mereka berkongsi secara langsung pengalaman kecekalan dan semangat solidariti umat Islam yang menyertai misi kemanusiaan ke Palestin. Perkongsian ini memberikan pendedahan mendalam tentang cabaran dan semangat dalam mempertahankan hak kemanusiaan sejagat, serta membolehkan para peserta menelusuri perjalanan sebenar misi flotilla tersebut.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Qunut Nazilah yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Firdaus Ismail, bagi memohon perlindungan dan kekuatan buat saudara Islam di Palestin. Doa ini mengundang rasa sebak dalam kalangan hadirin yang bersama-sama menzahirkan solidariti terhadap perjuangan umat sejagat.

Program ini mendapat sambutan luar biasa, berjaya menarik penyertaan hampir 2,400 warga asasi UiTM Dengkil serta hampir 50 orang komuniti setempat. Penganjuran ini bukan sahaja menyemarakkan semangat keprihatinan global, malah berfungsi sebagai platform pendidikan nilai yang membentuk sahsiah dan kesedaran sosial mahasiswa. Secara tidak langsung, ia menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), yang menekankan peranan pendidikan dalam membentuk individu yang peka terhadap keamanan dan kemanusiaan. UiTM Dengkil komited untuk melahirkan mahasiswa berjiwa besar yang prihatin, berempati, dan bertanggungjawab terhadap isu sejagat.