
SUNGAI BULOH, 13 Oktober 2025 – Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Anatomy Open Day 2025 bersempena sambutan Hari Anatomi Sedunia (World Anatomy Day) yang disambut di seluruh dunia pada 15 Oktober. Inisiatif pendidikan dan kesedaran awam ini telah berlangsung di Dewan Demonstrasi Anatomi UiTM Sungai Buloh.
Program tersebut telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 400 orang pengunjung. Kehadiran terdiri daripada warga UiTM Sungai Buloh serta delegasi pelajar dan guru dari Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 Kota Damansara, dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Subang.


Para pengunjung berpeluang mendekati dan memahami keindahan serta keunikan anatomi manusia melalui pelbagai pameran, demonstrasi, dan aktiviti interaktif yang dikendalikan oleh pensyarah dan pelajar perubatan UiTM. Suasana sepanjang program berlangsung amat meriah dengan semangat ingin tahu dan keterujaan yang tinggi dalam kalangan pelajar serta masyarakat yang hadir.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Hj. Solehuddin Shuib, Penolong Rektor UiTM Kampus Cawangan Sungai Buloh, diiringi oleh Prof. Madya Dr. Leny Suzana Suddin. Kedua-duanya turut berkongsi kata-kata semangat dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran program ini.
Ketua Jabatan Anatomi, Dr. Muhammad Fairuz Azmi, merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa penganjur dan para fasilitator atas komitmen dan dedikasi tinggi yang diberikan sehingga program berjalan lancar dan mencapai objektifnya.
“Diharapkan semangat mencintai ilmu anatomi ini terus subur, bukan sahaja dalam kalangan pelajar perubatan tetapi juga masyarakat umum, agar kefahaman tentang tubuh manusia dapat dipupuk sejak peringkat awal,” ujar beliau. Penganjuran Anatomy Open Day 2025 ini mengukuhkan peranan Fakulti Perubatan UiTM sebagai penyebar ilmu dan pusat rujukan anatomi kepada komuniti.
