UiTM Teraju Konvensyen 152: Perkasa Bahasa Melayu Sebagai Agenda Nasional

SHAH ALAM, 14 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan peranannya dalam memartabatkan bahasa Melayu apabila tampil sebagai peneraju utama Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada 26 September 2025. Konvensyen ini telah diterajui oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) di bawah Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM dengan kerjasama strategik daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Menerusi Sidang Meja Bulat 152 telah menghasilkan  enam ketetapan utama, termasuk cadangan penubuhan Lembaga Bahasa Kebangsaan (LBK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai badan penasihat utama hal ehwal bahasa Melayu. Menariknya, UiTM telah dicadangkan sebagai sekretariat rasmi kepada lembaga ini bagi  mengukuhkan lagi kedudukan UiTM sebagai institusi peneraju dalam bidang pemikiran, dasar dan bahasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian menekankan bahawa usaha memperkasa bahasa Melayu harus menjadi Gerakan Nasional merentasi pendidikan, ekonomi, teknologi, media dan pentadbiran negara. Antara ketetapan lain termasuk pelantikan Atase Bahasa Melayu di setiap kedutaan, penggunaan sekurang-kurangnya 80 peratus kandungan media dalam bahasa Melayu yang betul, serta memperkenalkan gelaran profesional Ikhtisas Linguist (Lg) untuk pakar bahasa dan linguistik Melayu. Konvensyen turut menyarankan agar kursus bahasa Melayu dijadikan syarat wajib lulus di semua IPTA, dan memperkasakan penggunaan tulisan Jawi dalam urusan rasmi termasuk papan tanda serta papan iklan awam.

Turut hadir dalam majlis ini  ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari.

UiTM komited dalam usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, penyelidikan, inovasi dan urus tadbir. UiTM percaya bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa autoriti negara dalam arus digital serta ‘lingua franca’ ekonomi halal serantau.