Jaringan Inovasi UiTM-ITS: Memperluas Capaian Penyelesaian Air Bersih di Peringkat ASEAN

PULAU PINANG, 14 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperluas jaringan kerjasama akademik serantau dengan penglibatan pensyarah daripada Cawangan Jengka dan Cawangan Pulau Pinang sebagai pensyarah jemputan di Departemen Teknik Infrastruktur Sipil, Fakultas Vokasi, Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Surabaya, Indonesia. Program Khidmat Masyarakat Universiti ini telah berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 September 2025.

Dua orang Pensyarah Kanan daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, Ts. Dr. Duratul Ain Tholibon (UiTM Cawangan Jengka) dan Ts. Dr. Masyitah Md Nujid (UiTM Cawangan Pulau Pinang), telah mengetuai sesi syarahan dan bengkel bertajuk Penyelesaian Sumber Air Mampan. Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 26 orang peserta, terdiri daripada pelajar sekolah menengah tempatan dan mahasiswa Departemen Teknik Infrastruktur Sipil ITS.

Fokus utama syarahan adalah untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Matlamat 6 (Air Bersih dan Sanitasi). Para peserta didedahkan kepada penyelesaian teknikal kejuruteraan awam yang bersifat mesra alam dan berkos rendah yang relevan untuk cabaran pengurusan sumber air di kawasan serantau.

Di samping itu, bengkel ini bertujuan membina kapasiti dan memupuk minat yang mendalam dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Penglibatan aktif peserta dalam menyelesaikan masalah sebenar yang melibatkan sumber air, serta mengaplikasikan ilmu kejuruteraan secara kreatif dan berimpak, dilihat penting untuk melahirkan generasi jurutera yang inovatif. Kerjasama strategik antara UiTM dan ITS ini bukan sahaja terjalin melalui program akademik semata-mata, malahan turut menggalakkan kerjasama yang lebih luas antara komuniti tempatan, institusi pendidikan, dan agensi berkaitan dalam mencari penyelesaian yang inovatif terhadap cabaran bekalan air bersih melalui penyelidikan dan inovasi kejuruteraan. Inisiatif antarabangsa ini membuktikan komitmen UiTM dalam meluaskan capaian ilmu, memupuk semangat kesukarelawanan akademik, dan mengukuhkan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan mampan serantau.