Pelajar UiTM Perak Jayakan Program USR Bertemakan Patriotisme Bersama Komuniti OKU di Kuching

KUCHING, SARAWAK – 3 Ogos 2025 – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68, pelajar Program Pendidikan Jarak Jauh (EPJJ) Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (CFAP221), semester 01, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah menganjurkan Program University Social Responsibility (USR) bertemakan kemerdekaan dan semangat patriotik bersama pelajar orang kurang upaya (OKU) di Pusat Kebajikan Datuk Amar (PKDA) Hajah Juma’ani, Sri Satok, Kuching.

Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kod kursus SULAM TPR482: Social and Community Planning, dan bertujuan memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti istimewa melalui aktiviti berimpak tinggi. Turut hadir memeriahkan program ialah pelatih, ibu bapa, penjaga PKDA, pensyarah serta pelajar UiTM Cawangan Perak.

Majlis bermula pada jam 8.00 pagi dengan ketibaan para peserta dan tetamu, diikuti bacaan doa oleh pelatih PKDA, ucapan aluan oleh penyelia PKDA Encik Muhammad Ameer Idzat bin Siros, serta ucapan ringkas oleh pensyarah kursus, Gs Dr Hjh Norainah Abdul Rahman. Acara diteruskan dengan penyerahan cek replika sumbangan oleh pensyarah dan pelajar EPJJ kepada pihak PKDA.

 

Kemuncak program menyaksikan aktiviti pakaian beragam bertemakan kemerdekaan oleh pelajar OKU PKDA, diikuti penyampaian hadiah kepada pemenang. Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan tarian poco-poco oleh para pelajar. Program diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan bersurai pada jam 12.00 tengah hari.

Menurut penganjur, program ini memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah pelajar, memupuk nilai empati dan kesedaran sosial, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan. Interaksi langsung bersama komuniti OKU membuka ruang kepada pelajar untuk memahami cabaran masyarakat istimewa dan menanamkan semangat kesukarelawanan.

Inisiatif ini turut memperkukuh imej UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin dan berjiwa masyarakat, selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang cemerlang, berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap komuniti. Program ini menjadi wadah bermakna dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan dan memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.