UiTM Perak Perkasa Pendidikan Fesyen Digital Melalui Bengkel Ilustrasi Dalam Talian

SERI ISKANDAR, PERAK – 8 Oktober 2025 – Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah berjaya melaksanakan Bengkel Ilustrasi Fesyen Digital secara dalam talian selama dua hari bermula 3 hingga 4 September 2025. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Knowledge Transfer Program (KTP) yang bertujuan memperkukuh jaringan kolaborasi pendidikan dalam bidang seni reka fesyen.

Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 17 pendidik dari pelbagai institusi termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang, Selangor; Kolej Vokasional Malaysia; dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Kolaborasi strategik ini memperlihatkan komitmen UiTM dalam memperluas pemindahan ilmu dan memperkasa pendidikan teknikal serta vokasional (TVET).

Menurut Pengarah Program merangkap penceramah bengkel, Shahrizad Fitri Mustapha, bengkel ini bertujuan memperkenalkan asas ilustrasi fesyen digital dalam konteks reka bentuk moden. Beliau menekankan bahawa kemahiran ini semakin penting dalam pasaran kerja dan wajar diterapkan di sekolah serta institusi yang menawarkan program berkaitan fesyen.

“Bengkel ini bukan sahaja memperkenalkan teknik asas, malah membantu meningkatkan keupayaan tenaga pengajar agar selari dengan keperluan industri yang semakin berteraskan teknologi,” jelas beliau.

Antara objektif bengkel ialah memberi pendedahan kepada penggunaan perisian profesional seperti Adobe Photoshop dan Adobe Illustrator, memperkenalkan proses pengajaran dan pembelajaran terkini, serta melatih peserta menghasilkan fashion technical board sebagai produk akhir. Setiap peserta turut membentangkan hasil kerja masing-masing sebagai sebahagian daripada penilaian bengkel.

Pelaksanaan bengkel ini amat signifikan dalam memastikan para pendidik kekal relevan dengan perubahan pesat dalam dunia fesyen digital. Ia juga berperanan memperkukuh kemahiran tenaga pengajar untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing, kreatif dan adaptif terhadap perkembangan industri.