
HULU KELANG, 8 Oktober 2025 – Kelab ICAN Sinergi, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil telah berjaya menganjurkan Program ICAN Sinergi Prihatin: KEEPERKU Zoo Negara bertempat di Zoo Negara, Kuala Lumpur pada 28 September 2025. Program ini melibatkan penyertaan seramai 50 orang ahli kelab bersama dua orang pensyarah pengiring dan mendapat kerjasama erat daripada pihak Zoo Negara.
Program yang berlangsung pada hari Ahad ini bertujuan menyemai nilai kemanusiaan, semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk memberi makan haiwan, membersihkan sangkar, dan sesi pembelajaran interaktif berkaitan biodiversiti serta pemeliharaan alam sekitar. Pendekatan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15: Life on Land, SDG 17: Partnership for the Goals dan SDG 4: Quality Education.
Penganjuran program ini menjadi wadah terbaik dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga peka terhadap isu kemanusiaan dan kelestarian alam. Menurut pihak penganjur, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program berlangsung amat membanggakan dan mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tulen.

Hasil soal selidik yang dijalankan selepas program menunjukkan maklum balas yang sangat positif, dengan 100% peserta bersetuju bahawa program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan. Mereka menyatakan bahawa pengalaman ini memberi kesedaran mendalam tentang peranan manusia dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan pentingnya sokongan komuniti terhadap usaha pemuliharaan.
Program ini turut memberi impak besar dalam membentuk sahsiah pelajar, memupuk nilai empati, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan melalui aktiviti berpasukan. Ia juga memperkukuh imej UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin dan berjiwa masyarakat, selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap komuniti serta alam sekitar.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa UiTM sebagai ejen perubahan sosial dan penjaga kelestarian bumi.
