UiTM Pahang Perkukuh Kolaborasi Serantau Melalui Program Khidmat Komuniti Universiti (USR) di Indonesia

Surabaya, Indonesia, 5 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif dalam komuniti melalui pelaksanaan Program Khidmat Komuniti Universiti (USR) bersama Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini (MSAS) di SD Lab Universitas Negeri Malang, Indonesia. Program ini berlangsung dari 14 hingga 17 Julai 2025, dan melibatkan penyertaan seramai 25 pelajar, wakil PIBG serta guru-guru MSAS, dengan Profesor Madya Dr Tengku Intan Suzila Tengku Sharif dan Puan Hazlin Hasan dilantik sebagai Konsultan Program.

Aktiviti utama USR telah dilaksanakan pada 15 Julai 2025, bermula seawal jam 8:30 pagi waktu Indonesia dengan sesi sambutan rasmi oleh Ibu Alvi Nurisnaini, S. Pd., Pengetua SD Lab, kepada delegasi UiTMCPh-MSAS yang diketuai oleh Tuan Haji Azmy Murad Mohamed Yatim, Pengetua MSAS. Seramai 30 pelajar SD Lab berumur antara 10 hingga 11 tahun telah didedahkan kepada modul aktiviti berasaskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang direka khas oleh Konsultan UiTM. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk “Sampan Layar”, “Cabaran Boomerang”, “Cabaran Roket Belon”, dan “Cabaran Dengar, Tulis dan Lukis”. Walaupun terdapat sedikit jurang bahasa, kesemua peserta berjaya menyiapkan aktiviti dengan bantuan fasilitator pelajar MSAS yang turut dilatih bagi membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan sahsiah diri dalam konteks antarabangsa.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmiah bersama tenaga pengajar SD Lab, yang menampilkan dua pembentangan utama oleh Konsultan UiTM bertajuk “Parenting Today: The Reality and Challenges from the DASS Perspective” dan “A Gist of The Sustainability of the Teaching Profession”. Sesi pertukaran pandangan yang berlangsung secara santai namun berimpak tinggi ini telah membuka ruang dialog akademik yang menyokong usaha UiTM ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (MPM) 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan, MPM 4 – Pendidikan Berkualiti, dan MPM 17 – Perkongsian untuk Matlamat.

Kolaborasi ini selari dengan aspirasi UiTM sebagai “Globally Renowned University”, dan telah berjaya menonjolkan kepakaran serta kewibawaan tenaga akademik UiTM Cawangan Pahang bukan sahaja dalam konteks komuniti tempatan, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Selain memperkukuh imej UiTM Cawangan Pahang, program ini turut memberi impak positif kepada MSAS, yang merupakan Sekolah Angkat UiTM Cawangan Pahang, dalam usaha memperluas pengiktirafan di peringkat serantau.

Pihak SD Lab dan Universitas Negeri Malang turut menyampaikan harapan agar kolaborasi sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh jaringan akademik dan komuniti antara Malaysia dan Indonesia.

Penyunting:  Yang Mulia Prof Madya Tengku Intan Suzila Tengku Sharif