
Indonesia, 5 Ogos 2025 – Seramai empat orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Yang Dipertua MPP, Saudara Muhammad Haziq Sabri, telah berjaya melaksanakan lawatan penanda aras ke dua institusi pendidikan tinggi terkemuka di Indonesia, iaitu Universitas Negeri Jakarta (UNJ) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di Bandung. Lawatan ini berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos 2025, dan turut disertai oleh Profesor Madya Dr. Badrul Isa, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), bersama beberapa ahli pengurusan MASMED.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik ke arah penubuhan Koperasi MPP UiTM, yang dijangka direalisasikan dalam tahun semasa. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keupayaan kewangan MPP melalui sumber dalaman yang sah dan mampan, selari dengan kekangan yang ditetapkan di bawah Akta 174 yang membataskan urusan kewangan persatuan pelajar.
MPP UiTM menyahut seruan universiti untuk menjana pendapatan sendiri bagi pengoperasian organisasi pelajar, sekali gus memperkukuh peranan MPP sebagai pemacu utama dalam membela kebajikan mahasiswa secara berkesan dan berdikari. Usaha ini turut seiring dengan aspirasi UiTM di bawah MASMED untuk melahirkan lebih ramai usahawan mahasiswa melalui koperasi dan platform keusahawanan kampus.
Menurut Saudara Muhammad Haziq Sabri, Yang Dipertua MPP UiTM, “Kami sahut cabaran UiTM untuk menjana pendapatan sendiri, kerana kami percaya MPP perlu kukuh dari segi struktur dan sumber.”
Sepanjang lawatan, delegasi MPP telah diberi taklimat mendalam oleh pengurusan Koperasi Mahasiswa UNJ, yang telah ditubuhkan sejak tahun 1991, serta Koperasi Mahasiswa UPI, yang aktif sejak tahun 1975. Kedua-dua koperasi ini telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan perniagaan berasaskan pelajar, termasuk dalam bidang peruncitan, perkhidmatan dan pengedaran barangan keperluan mahasiswa.
Koperasi-koperasi ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, malah turut menjadi medan latihan keusahawanan sebenar kepada ahli koperasi dan barisan kepimpinan pelajar di institusi masing-masing. Kejayaan mereka menjadi inspirasi dan model terbaik buat UiTM dalam merangka koperasi mahasiswa yang tersusun dan berimpak tinggi.
Profesor Madya Dr. Badrul Isa, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) MASMED UiTM, turut menegaskan bahawa “Mahasiswa tidak seharusnya jadi pasif di universiti tetapi harus meraih segala peluang yang ada demi masa hadapan yang lebih baik.”
MPP UiTM turut merakamkan penghargaan kepada MASMED atas bimbingan dan komitmen padu dalam menyokong penubuhan koperasi ini, termasuk dalam penyediaan pelan perniagaan, dokumentasi rasmi dan latihan keusahawanan.
Penubuhan Koperasi MPP UiTM bukan sekadar medium penjanaan dana, tetapi juga platform latihan sebenar dalam kepimpinan ekonomi, pengurusan dan keusahawanan mahasiswa, sekaligus menyumbang kepada ekosistem pembangunan pelajar yang holistik dan berdaya saing.
