
Kota Kinabalu, 21–22 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah terus memperkukuh agenda pemerkasaan mahasiswa melalui penganjuran Parlimen Mahasiswa 2025 (Siri II) yang berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, Bangunan Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Parlimen Mahasiswa Sesi 2024/2025 sebagai platform rasmi perundingan dan advokasi pelajar.
Sidang parlimen ini menghimpunkan seramai 77 pemimpin mahasiswa yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), wakil Unit Beruniform, persatuan pelajar, serta ahli sekretariat. Parlimen ini berfungsi sebagai medium strategik untuk membincangkan isu-isu berkaitan hal ehwal pelajar, kebajikan, akademik, dan pembangunan kokurikulum secara menyeluruh dan berstruktur.
Antara isu utama yang dibahaskan termasuk aspek kebajikan pelajar, kesihatan mental, kemudahan makanan dan minuman, keselamatan kampus, sokongan kewangan, perkhidmatan kaunseling, capaian internet, kemudahan sosial dan pengangkutan dalam kampus. Turut dibincangkan ialah cadangan penambahbaikan berkaitan isu pelajar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Parlimen ini turut menjadi medan latihan kepimpinan dan akauntabiliti melalui sesi soal jawab, perbahasan dan pembentangan usul, sekali gus memperkukuh budaya demokrasi kampus dan kebertanggungjawaban dalam kalangan pemimpin pelajar.
Majlis perasmian pembukaan dan penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee, dengan kehadiran Penolong Pendaftar HEP, Puan Nurul Huda Roslan, dan Pegawai Eksekutif Kanan, Puan Norhayati Othman yang turut memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini.
Resolusi yang dibentangkan dalam sidang ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) dan seterusnya dimajukan ke peringkat Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM untuk tindakan lanjut. Inisiatif ini selari dengan aspirasi GRU2025 dan tema pencapaian UiTM, “Globally Renowned, Locally Rooted”, dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, holistik dan berpaksikan nilai kepimpinan berintegriti.
Penulis: Dayang Qaisarah binti Zulkarnain
Penyunting: Nurul Huda Roslan
