UiTM Pahang dan FELDA Berganding Bahu Perkasa Komuniti Luar Bandar

Kuala Krau, 12 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan komuniti melalui pelaksanaan program berimpak tinggi bertemakan “10,000 Langkah dan Khidmat Masyarakat bersama Komuniti FELDA Jenderak Utara”. Program ini merupakan inisiatif di bawah agenda University Social Responsibility (USR) yang dianjurkan oleh Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) dengan kerjasama pengurusan FELDA Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 49 warga UiTM yang terdiri daripada 15 pensyarah FPA, 10 kakitangan Unit Pengurusan Ladang (UPL), dan 24 pelajar semester dua, serta 41 orang komuniti FELDA Jenderak Utara. Rombongan UiTM diketuai oleh Dr. Mohd Khairi bin Che Lah, Ketua Pusat Pengajian FPA, bersama Pengarah Program, Dr. Nazatul Asikin binti Muda, dan disambut mesra oleh Encik Mohammad Faisal bin Fauzi, Pengurus FELDA Jenderak Utara, bersama barisan kepimpinan rancangan.

Penyerahan sumbangan FPA kepada komuniti dimulakan dengan penyampaian cenderahati kepada pihak pengurusan FELDA, serta majlis menandatangani Sijil Jalinan Kerjasama antara FPA dan FELDA Jenderak Utara sebagai tanda komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi dan komuniti.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu pertanian jangka pendek berkaitan tanaman matoa yang disampaikan oleh Encik Shamsuddin bin Ismail, memberi pendedahan kepada peserta tentang potensi tanaman tersebut dalam landskap pertanian komuniti. Aktiviti diteruskan dengan ‘brisk walk’ 10,000 langkah bersama komuniti sambil menerokai kawasan kampung dan beramah mesra dengan penduduk setempat. Sebagai kemuncak, peserta turut menyertai aktiviti penanaman pokok bunga dan pokok matoa di sekitar bangunan dan padang komuniti FELDA sebagai usaha menceriakan landskap dan memupuk nilai kelestarian.

 

Program ini berjaya mencapai beberapa objektif utama yang signifikan. Antaranya termasuklah mengeratkan hubungan antara pelajar, staf UiTM dan komuniti setempat melalui interaksi langsung yang mesra dan bermakna. Selain itu, sesi perkongsian ilmu pertanian berkaitan tanaman matoa telah memberi pendedahan praktikal yang bermanfaat kepada peserta, khususnya dalam bidang pertanian jangka pendek. Program ini juga berjaya memupuk kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta melalui aktiviti khidmat masyarakat yang dijalankan secara kolaboratif. Secara keseluruhan, inisiatif ini menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan serta SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, dengan menekankan aspek kesejahteraan komuniti dan pemindahan ilmu secara inklusif.

Program ini menandakan kejayaan satu lagi inisiatif berimpak tinggi UiTM dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan kesejahteraan sosial.

Penulis: Dr. Nazatul Asikin binti Muda