SHAH ALAM, 18 DISEMBER 2024 – Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Majlis Makan Malam dan Amanat Khas Naib Canselor UiTM bersama Pengurusan HICoE Berpotensi Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) di Hotel UiTM Shah Alam. Majlis ini bertujuan untuk meraikan kejayaan penubuhan INSAN yang diberikan status sebagai HICoE Berpotensi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam bidang nic Budaya dan Industri Kreatif. Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian penting yang memperkukuhkan komitmen UiTM dalam memajukan penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi.
Amanat Khas yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Shabuddin FASc, Naib Canselor UiTM, turut memberi penekanan kepada usaha memacu kecemerlangan penyelidikan dalam bidang nic yang telah ditetapkan oleh KPT. Beliau menyeru agar UiTM terus menjadi pusat rujukan profesional dan mempertingkatkan kedudukan universiti di persada dunia.
Turut hadir pada majlis ini adalah YBrs. Profesor Dr Tazul Izan Tajuddin, Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) bersama felo tetap dan felo bersekutu INSAN. Delegasi Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) pula diketuai oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama pengurusan kanan JPI. Semoga pencapaian INSAN ini memberi inspirasi kepada semua Pusat Kecemerlangan (CoE) di UiTM untuk terus meningkatkan prestasi dan berusaha untuk menjadi HICoE pada masa hadapan.