29 September 2024, Kubang Pasu – Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dengan kerjasama Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kedah, telah menganjurkan Bengkel Pemindahan Ilmu (KTP) Pembangunan Konsep dan Asas Lakaran Reka Bentuk Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) selama dua hari berturut-turut, iaitu pada 29 dan 30 September 2024. Program ini berlangsung di Daerah Kubang Pasu (Zon utara) dan Kulim Bandar Baharu (Zon Selatan) dimana mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 80 guru daripada pelbagai sekolah rendah dan menengah di negeri Kedah. Melalui bengkel ini, guru-guru dibimbing oleh penceramah berpengalaman daripada kalangan pensyarah Jabatan Seni Reka Perindustrian, UiTM Cawangan Kedah.
Bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep asas RBT, sekali gus memudahkan para guru memahami bagaimana prinsip-prinsip reka bentuk dan teknologi yang boleh diselaraskan dengan kurikulum pendidikan sekolah. Selain itu, ia mempercepatkan pemindahan ilmu dari pensyarah universiti kepada guru sekolah, membolehkan mereka memanfaatkan teknik reka bentuk terkini dalam proses pengajaran.
Di samping memperkukuhkan kemahiran reka bentuk, bengkel ini turut menyediakan peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di daerah Kubang Pasu dan di daerah Bandar Baharu Kulim, Kedah. Penganjur berharap program ini akan memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dan pihak sekolah, terutama dalam penyediaan panduan penilaian reka bentuk yang efektif mengikut kriteria RBT yang ditetapkan dalam kurikulum.
Dengan sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan kerjasama UiTM Kedah, program ini berjaya mencapai objektifnya, iaitu membangun dan memperkukuh pemahaman serta kemahiran asas reka bentuk dalam kalangan pendidik di kawasan Kedah.
Penulis bersama Fadila Mohd Yusof, Nurul ‘Ayn Ahmad Sayuti, Azhari Md Hashim