KuPeKe KPK 2024 Lahirkan Pemimpin Muda Dinamik dan Berinspirasi

Semenyih, 3 November 2024 – Kursus Pemantapan Kepimpinan (KuPeKe) anjuran Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Kolej Pengajian Kejuruteraan (SMK) KPK telah berlangsung dengan jayanya di Semenyih Eco Venture Resort and Recreation pada 1 hingga 3 November 2024. Kursus tahunan ini, yang kini memasuki siri keempat sejak diperkenalkan pada tahun 2021, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai program utama bagi membentuk barisan pemimpin muda yang dinamik dan berdedikasi dalam kalangan pelajar KPK. Program ini tidak hanya mencetuskan idea idea baharu dari para pemimpin muda tetapi juga mampu mengasah keupayaan berfikir berasaskan “growth mindset” yang menjadi asas kepada transformasi kepimpinan moden.  Program ini turut ditaja oleh Kidz Studios Venture, yang memberikan sokongan padu kepada pelaksanaan kursus ini.

Di bawah bimbingan penasihat program, Dr. Miradatul Najwa dan Prof Madya Ir Ts Dr. Norbaya Sidek, kursus tiga hari ini membawa para peserta melalui pelbagai aktiviti yang bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal tetapi juga ketangkasan mental mereka dalam membuat keputusan serta menyelesaikan masalah. Program ini memfokuskan kepada pembinaan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, dan penyelesaian konflik secara konstruktif, yang merupakan asas bagi menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Modul KuPeKe yang dibangunkan oleh HEP KPK telah digunakan dalam kursus ini, mengandungi elemen-elemen inovatif dan interaktif yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kecekapan peserta dalam kepimpinan. Melalui modul ini, pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan dan mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam situasi sebenar.

Peserta juga telah diberi peluang meneroka dan mengasah kebolehan mereka melalui aktiviti seperti ‘The Infinite Thinker,’ ‘Talk Like A Leader,’ ‘Leaders In Action’ dan pelbagai tugasan berpasukan yang menguji keupayaan mereka dalam membina kepercayaan serta kerjasama dalam kalangan rakan sepasukan. Di samping itu, sesi bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator menambahkan pemahaman mereka tentang kepimpinan yang beretika dan bertanggungjawab, serta kepentingan keterbukaan dalam komunikasi antara pemimpin dan anggota kumpulan. Salah satu acara utama dalam kursus ini juga adalah ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UITM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, yang telah memberikan ceramah yang mendalam mengenai kepimpinan dan konsep ABATA (Aspek Bimbingan dan Tanggungjawab). Dalam ceramahnya, beliau menekankan pentingnya pemimpin yang mempunyai sifat integriti, keberanian, dan empati, serta bagaimana ciri-ciri ini dapat mempengaruhi masyarakat secara keseluruhan.

Kursus ini tidak sekadar mengasah kemahiran kepimpinan tetapi turut mendidik peserta tentang tanggungjawab sosial serta kepentingan menghargai kepelbagaian budaya dan pandangan. Dalam dunia yang semakin mencabar, pemimpin muda kita perlu dibekalkan dengan ketahanan mental dan daya tahan untuk menghadapi perubahan serta krisis. Kepentingan kerjasama antara HEP dan SMK KPK dalam melaksanakan program seperti KuPeKe juga memberi impak positif kepada pembangunan karakter dan kepimpinan pelajar. Program ini dapat memberikan pendedahan berguna kepada pelajar untuk lebih bersedia menghadapi cabaran sebagai pemimpin sepanjang pengajian dan seterusnya di alam pekerjaan kelak.