KUALA LIPIS, 21 September 2024 – Program GeoAdventures anjuran Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Pahang di Kenong Rimba Park telah memberikan pendedahan praktikal yang berharga kepada pensyarah dan penolong jurutera. Aktiviti ini melibatkan eksplorasi geologi yang mendalam, merangkumi formasi batuan dan struktur geologi kawasan, dengan kerjasama erat daripada Jabatan Mineral dan Geosains Pahang (JMG) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP).
Program ini dibahagikan kepada tiga sesi utama: Taklimat, Cave Exploration, dan Free and Easy. Sebelum menjelajah, peserta menerima taklimat daripada wakil JMG dan PTNP mengenai kawasan yang akan dilawati. Para peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan kecil yang disertai jurupandu untuk memastikan keselamatan sepanjang aktiviti.
Peserta berpeluang meneroka tiga gua utama, iaitu Gua Batu Tangga, Gua Batu Tangkup, dan Gua Batu Telahup, diiringi oleh pihak JMG dan PTNP. Selain itu, peserta juga berpeluang menjalankan ujian kekuatan batuan menggunakan Rebound Hardness Test dan Ujian Keasidan ke atas batuan di gua-gua tersebut.
Sesi akhir, Free and Easy, memberikan peluang kepada peserta untuk mendalami jenis batuan tempatan serta berbincang mengenai isu-isu geologi terkini, termasuk kejadian tanah runtuh bersama wakil JMG dan PTNP. Program ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman serta pengetahuan aplikasi geologi di lapangan, memberikan manfaat kepada semua peserta dan menambah ilmu yang relevan untuk projek masa depan.