Jengka, 12 September 2024. Amalan perkongsian ilmu tidak terhad kepada ilmu akademik semata. Justeru itu, pihak KPPIM UCPh Kampus Jengka mengambil inisiatif untuk menganjurkan program perkongsian ilmu berbentuk santai dijenamakan sebagai Uli-uli Hilang Stress. Sesuai dengan nama program yang diberi, penganjur mensasarkan peserta program mendapat manfaat dalam menangani ‘stress’ atau tekanan dengan mempraktikan ilmu yang dikongsikan sepanjang program berlangsung.
Jawatankuasa penganjur menggunakan peluang sempena cuti semester Mac-Ogos 2024 untuk menjayakan program ini bertempat di bilik rehat pensyarah. Program masakan berbentuk ‘hands-on’ dikendalikan oleh Dr. Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam atau lebih mesra dikenali sebagai Dr. Farhan selaku chef jemputan bersama moderator Puan Nazihah Ismail. Dua resepi yang diketengahkan adalah Chunky Cookies dan Apple Tart. Setiap kumpulan terdiri daripada empat peserta, yang mana turut dikehendaki membawa satu bahan yang diperlukan dalam penyediaan menu tersebut.
Moderator memulakan sesi menguli dengan memperkenalkan Dr. Farhan kepada peserta terutamanya tentang latarbelakang pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) beliau yang baru sahaja tamat dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan jayanya. Program berlangsung dalam suasana yang riang ceria hasil kepetahan moderator mengawal keadaan. Kelincahan chef menyediakan adunan diselang-selikan dengan soalan temubual menjadikan suasana gamat dan ukhuwah terjalin lebih akrab.
Dr. Farhan menyatakan membuat biskut adalah hobi baru yang diamalkan semasa beliau dalam pengajian PhD. Menurut beliau, membuat biskut ini adalah terapi untuk beliau menghadapi tekanan dalam menyiapkan tugasan. Tambah beliau lagi, hobi ini tidaklah mahal, tidak rumit dan hasilnya boleh dinikmati bersama keluarga tercinta. Beliau juga menyatakan hobi ini mampu menjana pendapatan sampingan jika dibuat bersungguh-sungguh. Antara kisah mencuit hati yang dikongsi, hasil dari hobi ini juga telah berjaya memujuk pasangan yang merajuk. Setiap kumpulan diberi peluang untuk menyediakan adunan biskut Chunky Cookies masing-masing mengikut giliran. Resipi terakhir yang dibuat adalah Apple Tart, satu adunan sahaja, dibantu oleh perserta program. Selepas 30 minit tart yang dihasilkan dikeluarkan dari ketuhar, dipotong dan dinikmati bersama semua peserta. Terserlah keenakan tart yang terhasil.
Berdasarkan maklumbalas positif peserta, majoriti peserta program bersetuju menyatakan mereka tertarik dan berminat untuk menyediakan sajian ini di masa hadapan. Mereka juga semakin yakin untuk membuat kek dan pastri, sekaligus menjadikan aktiviti ini sebagai hobi yang dipilih untuk mengisi masa lapang.
.Secara keseluruhannya program ini telah berjaya mencapai objektif utama program apabila semua peserta berjaya menghilangkan tekanan dalam diri. Antara komen yang diberikan adalah penganjuran program ini adalah terbaik perlaksanaannya serta menggembirakan sehingga boleh menghilangkan ‘stress’. Selain itu antara cadangan yang telah diutarakan oleh peserta program adalah pihak penganjur dicadangkan untuk mengadakan program seumpama ini di masa akan datang dalam skala yang lebih besar (secara atas talian).
Penulis Bersama: Dr. Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam