Persidangan Antarabangsa ‘AiDAS2024’ Menjadi Medan Pembentangan Idea Bidang Kecerdasan Buatan dan Sains Data

20 Oktober 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah berjaya menganjurkan International Conference on Artificial Intelligence and Data Sciences (AiDAS2024) dengan kerjasama Mahidol University, Bangkok, Thailand, dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia pada 3 hingga 4 September 2024. Persidangan ini diadakan secara hibrid, iaitu secara bersemuka di Mahidol University, Bangkok, dan secara atas talian melalui platform Google Meet.

Dengan tema ‘Artificial Intelligence and Data Science: Prospects and Future Applications’, persidangan kali ini berjaya menarik 97 pembentang dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada 7 negara: Malaysia (78), Indonesia (9), China (3), India (2), Singapura (2), Filipina (2), dan Mesir (1). Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini dimulakan dengan majlis perasmian di Fakulti Sains, Mahidol University, Bangkok dengan tayangkan secara langsung di Facebook rasmi AiDAS2024. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengerusi AiDAS2024, Dr. Khairulliza Ahmad Salleh dan Dekan Fakulti Sains, Mahidol University, Associate Professor Dr. Prasit Suwannalert. Persidangan ini dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim secara rakaman video.

Ucaptama bagi sesi pertama disampaikan oleh Associate Professor Dr. Suppawong Tuarob dari Fakulti ICT, Mahidol University dengan tajuk ‘AI for Social Impact: A Journey towards Transforming Online Data into Policy Action’ dan pembentang ucaptama pada sesi kedua oleh Prof. Emeritus Dato’ Ts Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan tajuk ‘Mimicking Intelligence: How Far Can It Go?’. Pembentangan dari kedua – dua pengucaptama ini berjaya meningkatkan minat dan keterujaan para peserta kerana perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sedang menjadi tumpuan ketika ini.

Seramai 19 peserta telah berjaya membentang hasil kajian secara bersemuka pada hari pertama, manakala 78 peserta lagi membentang secara atas talian pada hari pertama dan juga hari kedua.
Pembentangan kertas kerja pada persidangan ini merangkumi bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Sains Data. Kesemua artikel yang telah diterima akan diterbitkan di dalam Jurnal yang berindeks Scopus.
Penganjuran AiDAS2024 telah berjaya mengumpulkan para sarjana, penyelidik, ahli akademik tempatan dan antarabangsa untuk berbincang, berkongsi idea, dan meneroka isu – isu baru dalam
bidang Kecerdasan Buatan dan Sains Data. Dengan penganjuran ini juga telah membuktikan komitmen warga Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dalam memperkasakan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Penulis Bersama: Mohd Hafiz Mohammad Hamzah