Shah Alam, 12 Oktober 2024 – Setelah tujuh tahun menyepi, Kilauan Emas 2024 kini kembali meriah di industri hiburan tanah air. Program yang disiarkan secara langsung dari Royal Theater Shah Alam ini bertujuan untuk mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baru dalam nyanyian bagi peserta warga emas berumur 45 tahun ke atas. Dengan tema ‘Otai Kembali Berbisa’, program ini tetap mengekalkan formatnya yang popular dalam enam musim sebelumnya.
Selain menampilkan peserta berbakat, Kilauan Emas 2024 juga memberikan platform kepada pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program Seni Reka Fesyen UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, berkolaborasi dengan stesen televisyen Astro untuk menghidupkan konsert minggu ke-5. Kolaborasi ini menampilkan pelajar dalam pelbagai peranan penting, termasuk pengurusan belakang pentas dan menyediakan busana untuk dipersembahkan bersama peserta.
Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM) di bawah kursus Pengurusan Fesyen (FES253). Melalui projek SULAM, pelajar UiTM bukan sahaja memperoleh pengalaman praktikal, tetapi juga dapat mempamerkan nilai kerjasama dan khidmat komuniti yang amat diperlukan dalam dunia profesional. Ini sejalan dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menghasilkan pelajar yang holistik dan seimbang.
Para pelajar UiTM turut berpeluang untuk mempamerkan kemahiran mereka dalam industri fesyen dengan melaksanakan pengurusan yang melibatkan peragaan koleksi busana yang disediakan khas untuk mengiringi persembahan peserta. Ini tidak hanya meningkatkan keyakinan diri pelajar tetapi juga memberi mereka pendedahan langsung kepada industri hiburan dan penyiaran.
Dengan penglibatan ini, Kilauan Emas 2024 tidak hanya menjadi platform bagi peserta warga emas, tetapi juga membuka ruang bagi pelajar UiTM untuk bersinar dan menunjukkan bakat mereka, menjadikan program ini satu inisiatif yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat, bukan sahaja pelajar-pelajar Program Seni Reka Fesyen malah pensyarah juga turut berganding bahu untuk menjayakan projek ini.
Penulis bersama: Nur Fatin Umar & Muhamad Rozali Othman