Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar bergraduat dalam tempoh pengajian yang ditetapkan. Selain itu, program ini juga membantu pelajar untuk lebih fokus dalam mencapai gred yang lebih baik kerana pendaftaran kod kursus maksimum hanyalah dua kod sahaja. Inisiatif ini dijalankan berdasarkan kepada permintaan dan maklumbalas yang diperolehi daripada para pelajar. Program ini turut melibatkan sesi kuliah dan makmal bagi kursus tertentu. Secara tidak langsung, para pelajar memperoleh pengalaman menjalankan sesi makmal sambil mengukuhkan lagi pemahaman berkaitan subjek kursus.
Seramai 12 orang pensyarah telah terlibat bagi sesi intersesi bagi kali ini. Mereka telah berkolaborasi dalam menyampaikan sesi kuliah dan makmal sepanjang tempoh lima minggu program ini dijalankan. Modul bagi sesi pembelajaran juga telah disediakan bagi memastikan kelancaran setiap sesi perkuliahan yang dijalankan. Disamping itu, modul latihan juga turut disediakan bagi memudahkan para pelajar membuat latih tubi. Sesi pembelajaran juga dilaksanakan dengan menggalakkan penglibatan semua pelajar sekaligus memupuk semangat kerjasama, pemikiran kritis, dan kemahiran praktikal yang berguna bagi para pelajar untuk menghadapi cabaran akademik pada masa hadapan.
Intersesi ini dijalankan secara berkala berdasarkan kepada keperluan dan permintaan para pelajar. Disamping itu, program yang pertama kali diadakan ini juga mendapat maklumbalas yang positif daripada kalangan pelajar yang terlibat. Pihak FSG Cawangan Perak Kampus Tapah akan terus komited untuk menjalankan program ini dalam usaha memupuk kecemerlangan akademik dan memastikan semua pelajar berpeluang mencapai matlamat pendidikan mereka.
Penulis Bersama: Siti Nur Azmu’i Abdullah, Nur Nadirah Rodzali, Adibah Mohd Noor