14 Oktober 2024 – Program SE-DECODES 2024 UiTM-UNTAR Design Collaboration, Exhibition, Art Community and Creativepreneur 2024 telah dijalankan di Fakultas Seni Rupa dan Desain (FSRD), Universitas Tarumanagara (UNTAR), Jakarta, Indonesia dengan kolaborasi Program Pendidikan Seni & Seni Reka, Fakulti Pendidikan bersama Jabatan Seni Reka Grafik, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Selangor, Puncak Alam. Program ini turut dijayakan dengan penglibatan oleh Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Shah Alam. Program yang dijalankan ini disertai oleh mahasiswa Fakulti Pendidikan dan Kolej Pengajian Seni Kreatif.
Antara kolaborasi SE-DECODES 2024 yang dijalankan adalah webinar, pameran, khidmat masyarakat (SULAM), keusahawanan kreatif serta outbound pelajar dan ianya diharapkan dapat memberikan impak positif bagi komuniti akademik dan masyarakat yang terlibat. Program Pendidikan Seni dan Seni Reka (ED242) berkesempatan menjalankan aktiviti SULAM melalui AJAR KRAF 3.0 yang telah dijalankan di Sekolah Menengah Pertama Islam Darusalam, Bekasi. SULAM ini dijalankan bagi memenuhi tuntutan kursus ADE646 Teaching Design in Art Education dan pelajar Semester 6 turut sama menjayakan aktiviti kraf berasaskan bahan kitar semula bagi tujuan memenuhi tema iaitu SDG. SE-DECODES 2024 turut dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia iaitu TYT Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin. Kehadiran beliau bukan sahaja menambah seri acara, tetapi juga mencerminkan sokongan kuat dari pihak diplomatik Malaysia terhadap kerjasama pendidikan antara kedua negara. Kehadiran beliau tidak hanya mengukuhkan acara tersebut, tetapi juga menyaksikan majlis tandatangan Letter of Intent (LoI) antara Universiti Teknologi MARA (UITM) dan Universitas Tarumanagara (UNTAR). Perjanjian ini menandakan permulaan kerjasama strategik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dan memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia.
Sesi menandatangani LoI berlangsung di mana wakil dari UiTM dan UNTAR menandatangani dokumen yang menandakan komitmen kedua-dua universiti untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang. Antara aspek kerjasama yang akan diteroka termasuk pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan program akademik. Selain itu, TYT Dato’ juga sama-sama menghadirkan diri ke pameran yang mempamerkan hasil karya pelajar dari UiTM-UNTAR. Kehadiran TYT Dato’ Syed Mohamad Hasrin sebagai saksi memberikan pengiktirafan rasmi kepada perjanjian ini, sekaligus menunjukkan sokongan kerajaan Malaysia terhadap inisiatif pendidikan antarabangsa.