Lawatan Muhibah ke Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR) Indonesia: Langkah Proaktif ke Arah Pemantapan Strategi Pengantarabangsaan

Pahang, 11 Jun 2024-Komponen pengantarabangsaan adalah merupakan salah satu daripada strategi Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mencapai hasrat ke arah Global Renowned University – UiTM 2025. UiTM Cawangan Pahang juga tidak ketinggalan merancang dan melaksanakan pelabgai aktiviti pengantarabangsaan bersama semua rakan universiti di luar negara termasuk Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR) Jogjakarta, Indonesia. Pemuafakatan antara UiTM Cawangan Pahang dan UMPWR ini telah dimulakan daripada tahun 2023 dan diteruskan sehingga kini sebaik sahaja MoU bersama mereka telah ditandatangani.

Lawatan muhibah ke UMPWR ini merupakan rentetan daripada lawatan yang dilaksanakan oleh mereka ke UiTM Cawangan Pahang pada awal Jun yang lalu. Program ini telah dirancang pada awal tahun 2024 bagi merealisasikan rancangan kerjasama dari aspek penyelidikan dan pengajaran untuk kedua-dua universiti. Lawatan balas ini telah berlangsung selama 4 hari bermula daripada 11 – 14 Jun 2024. Lawatan ini telah disertai oleh dua (2) orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) di kampus Raub iaitu Dr. Hasnizawati Hashim dan Dr. Fazreena Mansor.

Permulaan lawatan ini adalah sesi perbincangan bersama Rektor – Profesor Madya Dr. Teguh Wibowo dan semua dekan di UMPWR. Selain daripada penghargaan dan diperkenalkan kepada semua pengurusan UMPWR, delegasi UiTM Cawangan Pahang juga telah berbincang lebih mendalam mengenai aktiviti dan cadangan pemantapan ukhwah bagi kedua-dua universiti. Antara cadangan tersebut termasuklah penyelidikan bersama untuk kelestarian sektor air, penglibatan sebagai penilai bagi jurnal yang diterbitkan oleh UMPWR, serta penyertaan dalam aktiviti penilaian projek akhir pelajar.

Aktiviti berikutnya adalah sesi Guest Speaker 1 oleh Dr. Hasnizawati Hashim yang menyampaikan syarahan yang bertajuk Employer Expectation. Sesi ini melibatkan seramai lapan puluh (80) orang pelajar semester empat (4) dan lima (5) daripada pelbagai fakulti di UMPWR. Sesi ini telah mendapat sambutan hangat daripada para pelajar yang menunjukkan minat yang mendalam terhadap topik ini. Mereka aktif mengajukan soalan berkongsi pandangan mereka, mencerminkan keterlibatan yang tinggi dan kesungguhan dalam memahami harapan majikan masa hadapan. Suasana perbincangan yang dinamik ini memperlihatkan betapa pentingnya topik ini bagi pelajar yang sedang mempersiapkan diri untuk memasuki dunia pekerjaan. Aktiviti seterusnya adalah sesi kutipan data bagi projek penyelidikan bersama sejumlah 15 orang pelajar UMPWR. Komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini telah memudahkan urusan pengumpulan data di samping memastikan segala maklumat yang diperlukan bertepatan dengan perancangan yang telah ditetapkan.

Pada hari terakhir delegasi UiTM berada di UMPWR, telah berlangsungnya sesi kedua Guest Speaker bersama Dr. Fazreena Mansor. Sesi perkongsian ilmu ini adalah berkisar kepada topik Cultural Diversity in Organization. Sesi ini telah dihadiri oleh lebih daripada seratus orang pelajar dari Fakultas Ekonomi dan Bisnis serta Fakultas Ilmu Sosial. Sesi ini telah berjalan dengan sangat lancar dan teratur.  Para pelajar amat fokus dengan kuliah yang disampaikan dan sangat aktif bertanya mengenai tajuk yang dibincangkan. Keterlibatan mereka mencerminkan minat yang tinggi terhadap isu kepelbagaian budaya dalam organisasi. Usai sesi tersebut, Dr. Hasnizawati Hashim turut berkongsi tentang peluang belajar di Malaysia. Ini merupakan permintaan salah seorang daripada tenaga pengajar di UMPWR iaitu Ibu Meriam Esterina sebagai pendedahan awal kepada para pelajar UMPWR supaya berpandangan jauh tentang pendidikan mereka di masa akan datang. Sesi ini juga merupakan salah satu daripada gerbang maklumat kepada pelajar untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian. Pada perkongsian ini, pelajar-pelajar telah diterangkan mengenai pelbagai peluang pendidikan yang ditawarkan di Malaysia, termasuk syarat umum kemasukan ke program akademik, kemudahan pembelajaran, serta kelebihan melanjutkan pengajian di UiTM dan institusi pengajian tinggi yang lain.

Tidak dinafikan bahawa hospitaliti UMPWR adalah sangat cemerlang. Bukan setakat menyediakan penginapan di hotel yang unik, delegasi juga telah disajikan dengan pelbagai hidangan menarik Indonesia. Selain itu, delegasi juga telah dibawa melawat beberapa kawasan menarik di sekitar Purworejo dan Jogjakarta seperti Candi Prampanan, alun-alun Purworejo dan pelbagai restoran yang menawarkan pelbagai juadah yang lazat dan istimewa.

Seperti peribahasa “seikat bagai sirih, serumpun bagai serai” yang menjadi simbolik kepada kerjasama erat yang telah terjalin antara UiTM Cawangan Pahang dan UMPWR.  Seperti sirih yang diikat dan serai yang tumbuh bersama, hubungan ini mencerminkan kesepakatan antara kedua-dua institusi pendidikan yang dapat bekerjasama dan saling menyokong untuk manfaat bersama. Lawatan muhibbah ini telah berjaya dijalankan dengan sangat cemerlang. Ia merupakan cerminan komitmen hebat daripada pihak pengurusan dan seluruh warga UMPWR yang menyambut dan meraikan delegasi UiTM sepanjang tempoh empat (4) hari berada di sana. Adalah diharapkan agar kesepakatan ini akan dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara UiTM dan UMPWR, serta meguatkan kedudukan kedua-dua institusi di peringkat antarabangsa. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang, demi memperkukuhkan lagi reputasi UiTM dan menjadikannya setanding dengan pusat pengajian tinggi lain di peringkat global.