Bengkel Pembuatan Sabun Daripada Sumber Bahan Terpakai Untuk Warga Emas Anjuran FSG UiTM Tapah

10 Jun 2024 – Bengkel pembuatan sabun daripada sumber bahan terpakai yang telah dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) menerusi latihan program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) telah dijalankan pada 29 Mei 2024 sehingga 8 Jun 2024 di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Seramai 10 peserta yang terdiri daripada warga emas
yang berusia lingkungan antara 60 hingga 71 tahun menyertai bengkel ini dan bengkel ini merupakan inisiatif daripada kerajaan negeri kepada rakyat negeri Perak dalam meningkatkan kemahiran untuk kehidupan yang sejahtera.

Program ini merupakan kali pertama dijalankan dengan kerjasama pihak PASAK yang mana geran berjumlah RM12,000 telah diberikan kepada Fakulti Sains Gunaan untuk melaksanakannya dan setiap peserta juga turut mendapat elaun RM200. Bengkel yang berlangsung selama 5 hari ini telah memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta berkaitan pembuatan untuk beberapa jenis sabun seperti pencuci pinggan jenis cecair, sabun pencuci pakaian, serta sabun buku yang dihasilkan daripada bahan kitar semula seperti minyak terpakai, susu tepung, serbuk kopi, serbuk oat atau sebarang bahan yang bersesuaian untuk dijadikan bahan tambah ke dalam ramuan pembuatan sabun.

Objektif bengkel ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam pembuatan sabun daripada sumber bahan terpakai secara saintifik dan selamat. Dengan menyertai bengkel seperti ini peserta dapat menambah ilmu pengetahuan, mengisi masa lapang selepas bersara dan mampu menjana pendapatan dengan menjual sabun yang dihasilkan nanti. Peserta bengkel juga turut didedahkan dengan modul berkaitan strategi pemasaran produk dan pengiraan bahan kos dan keuntungan, sebagai ilmu tambahan sekiranya mereka mahu menjalankan perniagaan menjual sabun yang dihasilkan selepas tamat bengkel berkenaan.

Majlis penutup program ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena Jelajah Kerjaya Daerah Batang Padang yg dianjurkan oleh PASAK pada 8 Jun 2024. Program ini telah mendapat liputan meluas daripada pihak media seperti Sinar Harian, Bernama, Harian Metro, Berita Harian, Malaysia Gazette, Astro Awani, Malaysia Aktif dan juga ditayangkan di RTM melalui Berita Wilayah pada 10 Jun 2024.