Pelajar UiTM Sarawak Dianugerah Sebagai Pemenang Architalent 2024 di ARCHIDEX

6 Julai 2024 – Edisi ke-6 ARCHITALENT iaitu Pertandingan Rekabentuk Senibina bagi Mahasiswa telah berlangsung pada 6 Julai 2024. Pertandingan yang julung kali berlangsung setiap tahun ini dianjurkan oleh Persatuan Arkitek Malaysia. Pertandingan ini diadakan sempena ekspo ARCHIDEX 2024 yang mengumpulkan pemain-pemain industri pembangunan telah berlangsung dari 3 sehingga 6 Julai 2024. Pelajar Program Muda Sarjana Senibina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Constantine Claudius Embagos berjaya merangkul tempat pertama di dalam pertandingan ini.

Matlamat utama pertandingan ARCHITALENT adalah untuk mengumpulkan bakat-bakat mahasiswa senibina di seluruh negara bagi memupuk dan mengasah mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang seni bina. Ia membuka ruang bagi pertukaran reka bentuk, idea-idea serta pendapat yang baharu. Pertandingan ini melibatkan bakat-bakat dari tempatan serta antarabangsa.

Pertandingan yang berlangsung selama 3 bulan ini iaitu dari April hingga Julai ini berlandaskan tema “The Nexus” iaitu peserta perlu mereka bentuk seni bina dan persekitaran yang menggabungkan interaksi antara ruang fizikal dan maya. Pada pusingan terakhir pertandingan tersebut 10 mahasiswa yang berjaya ke saringan akhir bagi pertandingan ARCHITALENT ini, terdiri daripada 7 mahasiswa tempatan dan 3 mahasiswa antarabangsa. Pada saringan akhir, peserta perlu membentangkan reka bentuk mereka di dalam masa 5 minit.

Mahasiswa dari Program Muda Sarjana Senibina UiTM Sarawak, Constantine Claudius Embagos berjaya merangkul tempat pertama didalam pertandingan ini dan membawa pulang USD1,000, sijil serta pingat. Selain itu, pelajar alumni UiTM Sarawak, Isma Amirrul Bin Ismail yang telah menyertai pertandingan tersebut di bawah naungan Universiti Malaya juga telah memenangi Best Presenter dan membawa pulang USD200, sijil dan juga pingat.

Pertandingan ARCHITALENT ini adalah amat bermanfaat kerana ia dapat menawarkan satu platform bagi mahasiswa dan mahasiswi untuk memaparkan bakat-bakat serta visi mereka kepada mereka yang di dalam industri pembangunan. Ia juga dapat mengasahkan bakat mereka dalam mereka bentuk dan juga pembentangan.