PUNCAK ALAM, 18 September 2024 – Pada 6 Jun 2024, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan program Creating a Resilient Startup: Lessons from Successful Entrepreneur. Nurul Alya Batrisyia binti Mohd Rofidi, selaku Pengarah Program Creating a Resilient Startup: Lessons from Successful Entrepreneur. Program ini merupakan program keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) pada minggu ke-10 bagi sesi pengajian dua tahun 2023/2024.
Program ini telah dijalankan pada 6 Jun 2024 selama 3 jam dan diadakan secara bersemuka di Dewan Kuliah 10, Bangunan FSK 6 UiTM Puncak Alam. Program ini telah berjaya menarik minat seramai 109 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai jurusan di bawah Fakulti Sains Kesihatan termasuk pelajar jurusan fisioterapi di UiTM Puncak Alam. Program ini dimulakan dengan perasmian program daripada Encik Naim Faiz Bin Ahmad Imran. Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada perasmi jemputan, iaitu Encik Naim Faiz bin Ahmad Imran yang merupakan pensyarah program fisioterapi di UiTM Puncak Alam merangkap penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024.
Seterusnya, bermulalah sesi perkongsian bersama CEO syarikat Mahligai E&C Sdn. Bhd., iaitu Datuk Ir. Mohamad Ali Bin Hj. Ramli selaku penceramah jemputan bagi program ini. Antara perkara yang dikongsikan oleh beliau termasuklah berkaitan pengalaman beliau dalam bidang keusahawanan dan input-input penting yang boleh digunakan oleh para mahasiswa dan mahasiswi dalam menerajui dunia perniagaan pada masa hadapan. Program kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab antara para peserta bersama penceramah jemputan dan diikuti sesi pemberian cenderahati kepada penceramah jemputan. Akhir sekali, program ditutup dengan sesi fotografi, nyanyian lagu UiTM Dihatiku serta bacaan Doa Rabithah dan tamat pada pukul 4.30 petang.
Program Creating a Resilient Startup: Lessons from Successful Entrepreneur ini juga bertujuan untuk membuka peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi menimba ilmu keusahawanan semasa zaman belajar. Kami berharap program ini dapat memberi kesedaran awal tentang kepentingan memiliki pengetahuan tentang keusahawanan dalam menggalakkan perkembangan ekonomi negara. Selain itu, program ini juga berupaya dalam memupuk semangat dalam kalangan para pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan yang mana dapat membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
Secara keseluruhan, program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi titik permulaan untuk mengembangkan lagi persepsi pelajar terhadap bidang keusahawanan sekali gus memberikan motivasi kepada mahasiswa dan mahasiswi UiTM Puncak Alam untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dengan lebih giat. Diharapkan program ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak khususnya mahasiswa dan mahasiswi dalam mencipta kegemilangan bukan sahaja di alam universiti malah berguna pada masa akan datang. Semoga para peserta mendapat pelbagai input yang berguna melalui pengisian daripada program ini.