KKEC 2024: Misi UiTM Memperkasa Graduan Melalui Kesatria Endurance

2-8 September 2024 – Di Kampus UiTM Bukit Besi, UiTM Cawangan Dungun, KKEC 2024 yang berlangsung dengan penuh gemilang di UiTM Cawangan Terengganu telah memaparkan semangat luar biasa dalam kalangan peserta dari seluruh kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM). Diterajui oleh Pusat Kokurikulum UiTM dengan kerjasama urus setia Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Terengganu, program ini berjaya menjadi platform penting untuk membina ketahanan fizikal dan mental dalam kalangan pelajar. Pengarah Pusat Kokurikulum turut menegaskan komitmen beliau terhadap kejayaan peserta dalam mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang.

Turut hadir dalam majlis perasmian, Yang Berusaha Encik Faizol bin Abd Aziz, Pengurus Pembangunan Masyarakat & Sosial Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), yang menyokong penuh penganjuran program ini. Encik Faizol menzahirkan penghargaan terhadap usaha gigih semua pihak yang memastikan kejayaan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2024. Semangat yang ditonjolkan oleh setiap komander mengukuhkan lagi keyakinan terhadap potensi para pelajar UiTM untuk terus maju dan berjaya dalam setiap cabaran.

Mengulas lanjut, YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, TNC HEP UiTM, turut menyatakan kekagumannya terhadap penyertaan lebih 900 peserta dan urusetia, serta dedikasi seramai 70 staf Kokurikulum dari setiap cawangan yang bertungkus-lumus menjaga dan mengurus kontinjen masing-masing. “Kejayaan KKEC 2024 ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi lambang dedikasi dan komitmen berpasukan, serta langkah besar ke arah kecemerlangan pelajar UiTM,” ujar beliau.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Datuk Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Ts. Dr. Mazidah Puteh, Pengarah Program KKEC2024, Ts. Dr. Ermeey Abd. Kadir, Timbalan Rektor HEP UiTM Terengganu yang baharu, Prof. Madya Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman, semua Ketua-ketua Unit Kokurikulum, serta seluruh warga Kokurikulum dari pelbagai cawangan UiTM seluruh Malaysia dan warga UiTM Cawangan Terengganu yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bagi dalam menjayakan KKEC 2024.

Ucapan penghargaan khas juga disampaikan kepada pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) atas kehadiran dan sokongan penuh mereka sepanjang penganjuran acara ini.

Tahniah kepada kontinjen dari Perlis, Johor, Melaka, serta semua kampus yang berjaya membawa pulang pingat kemenangan. Kemenangan ini adalah manifestasi kegigihan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh setiap peserta. Semoga penganjuran KKEC pada masa hadapan terus gemilang, membawa lebih banyak kejayaan dan peluang buat para peserta.

“Terima kasih atas segala jasa dan bakti. Sinergi ini mengukuhkan misi UiTM dalam melahirkan graduan Bumiputera yang tangkas dan profesional.”

Penulis Utama:

Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi

Penulis Bersama:

 Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Dr Alwi Mohd Yunus, Dr Basharudin Abdul Hadi