Semangat Kebersamaan di KKEC 2024: Kayuhan Basikal Satukan UiTM dan Komuniti Terengganu

7 September 2024 Bukit Besi, Dungun, Terengganu – Program Basikal Bersama TNC HEP UiTM sempena Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2024 telah berlangsung dengan penuh meriah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, memperlihatkan semangat kebersamaan antara UiTM dan masyarakat. Acara ini bukan sekadar aktiviti fizikal, malah menjadi simbol perpaduan dan keprihatinan UiTM terhadap komuniti setempat. Dalam program ini, peserta, termasuk staf dan orang awam, berpeluang menyantuni komuniti melalui kayuhan basikal sejauh 3 kilometer, menuju lokasi gotong-royong bagi membersihkan surau dan kawasan sekitar di Sungai Besi, Dungun, Terengganu.

YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, TNC HEP UiTM, berkata, “Aktiviti berbasikal bersama komuniti ini mampu mengukuhkan hubungan antara universiti, khususnya UiTM, dengan masyarakat setempat. Keharmonian yang terjalin ini memperlihatkan suasana tenang dan bersatu, selari dengan misi kita untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.”

Program ini melibatkan hampir 900 peserta dan 70 staf kokurikulum dari pelbagai cawangan UiTM, yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran acara serta merapatkan hubungan universiti dengan komuniti. Ia turut menjadi platform untuk membina ketahanan fizikal dan mental pelajar, di samping menanam nilai murni melalui kerja khidmat masyarakat.

“Bersama kita melangkah ke hadapan, membina komuniti yang lebih baik dan harmoni,” kata Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili, menutup program dengan penuh inspirasi.

Penulis Utama:

Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi

Penulis Bersama:

 Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Dr Alwi Mohd Yunus, Dr Basharudin Abdul Hadi