ZAWAF Tingkatkan Semangat Dan Inspirasi Melalui Program Bicara Santai Bersama Pelajar Asnaf

27 Jun 2024, UiTM Kota Samarahan -UiTM Cawangan Sarawak telah menganjurkan dengan penuh jayanya Program ‘Meal & Mind’ edisi Zulhijjah di Surau Al Ghazali, Kampus Samarahan 2 pada 19 Jun 2024.. Program ini merupakan inisiatif terbaru daripada Unit Zakat Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) untuk memberi sumbangan serta memberikan tazkirah motivasi kepada pelajar-pelajar asnaf, dengan tujuan utama untuk menggerakkan semangat mereka dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kehidupan.

Program yang disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Saimi bin Bujang, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 25 pelajar asnaf dari UiTM Cawangan Sarawak serta 5 pelajar asnaf dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang sedang menjalani Latihan Industri di UiTM Cawangan Sarawak.

Tazkirah motivasi yang disampaikan dalam program ini menggariskan pentingnya keberanian, ketekunan, dan keikhlasan dalam mengejar cita-cita, serta memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk mengatasi cabaran hidup dengan penuh keyakinan. Prof. Madya Dr. Saimi Bujang menegaskan bahawa setiap sumbangan bukan sekadar bantuan, tetapi juga satu amanah untuk memastikan masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Selain itu, program ini turut menyediakan platform untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman antara pelajar asnaf dengan alumni yang telah berjaya, memberikan pandangan dan motivasi tambahan dalam perjalanan pendidikan mereka.

UiTM Cawangan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada semua penaja dan pihak yang telah menyokong serta melibatkan diri dalam menjayakan Program ‘Meal & Mind’. Harapan kami agar usaha ini terus berkekalan, membawa manfaat yang luas kepada komuniti kampus dan masyarakat setempat, serta menjadi inspirasi kepada institusi-institusi pendidikan lain untuk mengambil inisiatif serupa.