UiTM Kampus Samarahan Sebagai Lokasi Perkampungan Sukan dan Penginapan SUKMA XXI Sarawak 2024

Samarahan, 22 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan telah dipilih sebagai lokasi perkampungan sukan dan penginapan rasmi untuk SUKMA XXI Sarawak yang akan diadakan pada bulan Ogos 2024. Pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada UiTM Sarawak dalam menyediakan fasiliti yang berkualiti tinggi untuk atlet dari seluruh negara.

Pada jam 5 petang tadi, satu lawatan telah dijalankan oleh Jawatankuasa Induk Perkampungan Sukan dan Penginapan SUKMA XXI Sarawak bagi meninjau persiapan fasiliti penginapan di kampus tersebut. Rombongan ini diketuai oleh YBrs. En. Lim Bih Wei, Ketua Bahagian Sumber Mineral dan Geosains, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), yang mewakili YBhg. Datu Haji Abdullah bin Haji Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perkampungan Sukan dan Penginapan SUKMA XXI Sarawak 2024.

Lawatan ini bertujuan untuk menilai tahap kesiapsiagaan dan kesesuaian fasiliti penginapan yang disediakan oleh UiTM Kampus Samarahan. Fasiliti penginapan yang diperuntukkan merangkumi asrama dan bilik-bilik khas yang akan menempatkan atlet serta pegawai dari pelbagai kontinjen negeri yang mengambil bahagian dalam temasya sukan terbesar negara ini.

Dalam lawatan ini, pihak jawatankuasa turut mengadakan perbincangan ringkas bersama pihak pengurusan UiTM Sarawak mengenai pengurusan penginapan dan perkhidmatan lain yang bakal disediakan sepanjang berlangsungnya temasya sukan ini. Fokus utama perbincangan adalah memastikan keselesaan dan keselamatan para atlet dan pegawai sepanjang mereka berada di kampus tersebut.

YBrs. En. Lim Bih Wei menyatakan keyakinannya bahawa UiTM Cawangan Sarawak mampu menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang. Beliau turut menekankan betapa pentingnya kerjasama erat antara pihak universiti dan jawatankuasa penganjur dalam memastikan persiapan berjalan lancar dan mencapai standard yang ditetapkan.

UiTM Kampus Samarahan yang terletak di lokasi strategik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk menampung keperluan penginapan dan logistik bagi acara sukan berprestij ini. Kemudahan seperti dewan makan, kemudahan sukan, serta persekitaran kampus yang kondusif dijangka dapat memberi keselesaan dan pengalaman yang positif kepada para peserta.

Dengan kepercayaan yang diberikan ini, UiTM Cawangan Sarawak komited untuk memastikan segala persiapan dilaksanakan dengan rapi dan teliti agar dapat menyumbang kepada kejayaan penganjuran SUKMA XXI Sarawak 2024. Semoga dengan usaha bersama ini, temasya sukan kali ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sekaligus mengharumkan nama Sarawak di persada sukan tanah air.