Forum Technician Life 2024: Gandingan Alumni dan Staf UiTM Pulau Pinang

PERMATANG PAUH, 19 April 2024 – Pusat Pengajian Elektrik (PKE), UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik, UiTM Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan program “Forum Technician Life 2024” khusus untuk pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) – CEEE111 dan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) – CEEE112

Hasil cetusan idea Ketua Program (KP) Diploma PKE, Ts. Dr. Samsul Setumin untuk memastikan para pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ini memahami bidang kerjaya yang akan mereka ceburi setelah tamat pengajian, program ini telah dicadangkan dan berjaya dilaksanakan dengan menggandingkan Alumni dan Staf UiTM Pulau Pinang sebagai panel dalam forum ini. Program yang telah berlangsung secara maya ini juga telah berjaya menarik minat seramai 85 peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf.

Moderator forum ini, Wan Nur Sofea yang merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik, UiTM Pulau Pinang telah berjaya mengendalikan forum ini bersama dengan dua orang panel iaitu En. Muhammad Faizal Ismail dan Ts. Shamsul Munir Muhamad yang juga merupakan alumni dan staf UiTM Pulau Pinang. Kedua-dua panel ini mempunyai banyak pengalaman bekerja samada dengan agensi kerajaan mahupun syarikat swasta tempatan dan antarabangsa. Memandangkan, kedua-dua panel ini merupakan staf akademik dan bekas pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik, UiTM Pulau Pinang, para peserta merasa sangat teruja dan tertarik dengan perkongsian yang disampaikan oleh kedua-dua panel.

Berbagai cabaran yang para panel hadapi semasa menjadi juruteknik telah dikongsikan bersama para peserta. Namun dengan cabaran yang telah mereka lalui itulah, menyebabkan para panel terus cekal dan dapat mempelajari lebih banyak ilmu terutama yang tidak dapat dipelajari semasa didalam kelas. Selain daripada itu. Kedua-dua panel juga berkongsi berkenaan kepentingan untuk melihat potensi yang ada dalam diri sendiri serta perlu sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kepakaran yang sedia ada. Ini bagi memastikan agar tidak ketinggalan dan dapat berdaya saing dalam menghadapi cabaran teknologi yang berkembang pesat serta dapat memastikan kemahiran yang sedia ada sentiasa diperbaharui. Kedua-dua panel juga tidak lupa untuk memberi nasihat dan dorongan kepada para pelajar agar belajar bersungguh-sungguh dan jangan berhenti untuk belajar walaupun telah memasuki alam pekerjaan dan apabila telah berada di alam perkerjaan suatu hari nanti pun, perlulah bekerja bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Dengan berjayanya program ini, diharap para peserta khursusnya para pelajar akan sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing suatu hari nanti.

Penulis : Shahilah Nordin, Wan Salha Saidon, Norsabrina Sihab, Nor Fadzilah Mokhtar