Lawatan Penandaarasan ke Unit Pengeluaran Benih Sime Darby, Banting

Banting, 28 Mei 2024 – Lawatan penandaarasan telah dijalankan oleh ahli-ahli Kumpulan Inovasi Kreatif (KIK) 2024, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM ke Seed Production Unit di Sime Darby, Banting. Tujuan lawatan ini adalah untuk memperoleh maklumat berkenaan teknik penghasilan biji benih yang berkualiti khususnya biji benih kelapa sawit. Penghasilan biji benih yang berkualiti adalah penting bagi mendapatkan hasil tanaman yang optimum bagi kegunaan pasaran tempatan dan luar negara.

Lawatan ini telah disambut oleh wakil dari Seed Production Unit, Sime Darby iaitu Dr. Aireen Niza, En. Fatih, dan En. Arif. Pengisian lawatan ini telah dimulakan dengan taklimat ringkas dari En. Fatih mengenai peranan dan skop tugasan unit ini, seterusnya menerangkan secara ringkas mengenai teknik dan amalan penyediaan benih kelapa sawit, serta varieti benih kelapa sawit keluaran Sime Darby seperti Calix 600 dan GH 500.

Aktiviti diteruskan lagi dengan lawatan ke bahagian pemprosesan biji benih, bermula dari bahagian pengasingan benih dari tandan kelapa sawit, sehingga ke bahagian simpanan biji benih. Lawatan ini juga memberi pendedahan mengenai aspek dan kriteria pemilihan biji benih yang berkualiti sebelum ianya dipasarkan di dalam atau ke luar negara. Setelah selesai melawat ke kawasan pemprosesan biji benih, ahli kumpulan di bawa ke tapak semaian benih kelapa sawit bagi melihat aspek pengurusan anak pokok kelapa sawit. Dr Aireen Niza juga memaklumkan bahawa anak-anak pokok sawit ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pengusaha kecil kelapa sawit di sekitar Banting.

Pensyarah Kanan, Ts. Dr. Siti Maslizah Abdul Rahman juga merangkap pensyarah sumber bagi Kod kursus Teknologi Biji Benih (AGA602), berpendapat bahawa lawatan ini memberi input yang berharga dalam memahami aspek pengeluaran biji benih yang berkualiti khususnya biji benih kelapa sawit.

Lawatan ini tidak hanya memberi peluang kepada ahli kumpulan untuk melihat secara langsung amalan terbaik dalam industri biji benih, tetapi juga menambah ilmu dan pengalaman yang dapat diterapkan kepada pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Menerusi lawatan ini juga, ahli kumpulan dapat mencambah idea bagi mengadakan produk inovasi khususnya biji benih, yang merupakan asas penting bagi meningkatkan hasil tanaman yang berkualiti, seterusnya memacu kejayaan dalam industri pertanian moden.

Penulis Utama: Nur Atiqah Zaharullil
Penulis Bersama: Dr Siti Maslizah Abdul Rahman, Dr Noer Hartini Dolhaji,Annuarzamani Che Ayoub dan Mohd Nazwan Kudori