23 Jun 2024– Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (PERSADA) dari Univeriti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mengajurkan Program CSR dan Ramah Mesra Jelajah Siswa FELDA 2.0 di Felda Lepar Hilir 1. Program yang berlangsung pada 22 dan 23 Jun 2024 ini melibatkan pelajar yang merupakan anak dan cucu kepada peneroka Felda dari pelbagai negeri dan komuniti FELDA Lepar Hilir 1 & 4. Program CSR dan Ramah Mesra Jelajah Siswa FELDA 2.0 ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program ialah aktiviti CSR termasuk Gotong-Royong Sekampung bersama Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Forum Perdana Waqaf oleh Panel Imam Muda, Program “Family Day” bersama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Ziarah kasih. Program CSR ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran pelajar dengan komuniti, membantu komuniti, memberi manfaat, dan memupuk perasaan muhibah antara komuniti dan warga UiTM Cawangan Pahang dan UPNM. Seramai 40 orang sukarelawan daripada PERSADA UiTM dan UPNM telah mengagihkan bantuan kepada 20 buah keluarga yang terpilih seperti pesakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU). Proses pengagihan pek bantuan turut diserikan lagi apabila menerima kunjungan dan sumbangan lain daripada Waqaf FELDA. Pelaksanaan program ini menitiberatkan tiga matlamat daripada Sustainable Development Goals (SDG) iaitu “Goal 1: No Poverty”, “Goal 2: Zero Hunger” dan “Goal 3: Quality Education”. Melalui aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan, mahasiswa dapat memperoleh banyak manfaat dan pengalaman yang berharga. Akhir sekali, Program CSR ini bukan sahaja memberi pendedahan akademik tetapi juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran sosial, sahsiah dan kepimpinan mereka.