9 Jun 2024 – Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah berjaya menganjurkan program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama pelajar anak-anak Sabah di UiTM Cawangan Selangor.
Kunjungan YB Datuk Dr. Hj. Mohd Arifin Datuk Hj. Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah dan delegasi dari Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah disambut mesra oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS bersama wakil pengurusan UCS. Dalam ucapan aluannya, Prof Rektor menyatakan bahawa program ini merupakan satu platform yang sangat berharga untuk para pelajar UCS memperoleh maklumat terperinci mengenai peluang biasiswa dan bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Negeri Sabah.
Seramai 209 orang pelajar anak-anak Sabah UCS telah diberi taklimat berkaitan BKNS dan seterusnya mendapat kelulusan secara terus pada program tersebut. YB Datuk Dr. Hj. Mohd Arifin juga dengan sukacitanya mengumumkan bantuan RM10 ribu bagi mewujudkan kesatuan pelajar anak-anak Sabah UCS.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah atas inisiatif penganjuran roadshow, serta tajaan pendidikan yang dapat membantu mahasiswa UCS merancang masa depan akademik mereka. Diharap program seperti ini dijadikan program tahunan bagi terus membantu memberikan pendedahan kepada para pelajar.